Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 MAC 2026: Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Santunan Kasih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kampus Kuantan.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda disambut oleh YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.
Turut menyambut keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, isteri kepada YAB Menteri Besar Pahang, Datin Sri Diraja Dato’ Hajah Burhah Mohammed.
Dalam majlis berkenan, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan mengurniakan sumbangan kewangan kepada 120 orang mahasiswa dalam kalangan pelajar asnaf melalui bantuan Khairat UIAM Kuantan dibawah seliaan Tabung Endowmen UIAM (IEF).

Pada majlis yang sama, baginda turut berkenan menyampaikan anugerah dan insentif sukan kecemerlangan kepada tiga atlet mahasiswa UIAM melalui pencapaian pingat di Sukan SEA Ke-33 dan Sukan PARA ASEAN Ke-13 pada tahun 2025.
Atlet yang menerima anugerah tersebut, penerima anugerah perak bagi kategori Bola Sepak Buta Lelaki pada Sukan PARA ASEAN Ke-13 tahun 2025, Muhammad Shazrul Izdhar Mohd Shuhaidi.
Manakala dua atlet bagi Sukan SEA Ke-33 yang menerima pingat gangsa bagi kategori Woodball Wanita dalam acara Berpasukan Fairway ialah Nur Zalilah Mohd Sohaimi serta Muhammad Ilham Hazmi Shamsul Nizam yang mewakili Malaysia dalam kategori Bola Baling Lelaki.

Paduka baginda turut menyaksikan sesi penyerahan replika cek cura daripada Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) dan IIUM Medical Specialist Centre (IMSC) sebagai simbolik sumbangan kepada UIAM melalui Tabung Endowmen UIAM (IEF) yang akan disalurkan kepada pelajar-pelajar UIAM yang memerlukan bantuan sepanjang pengajian.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah bantuan kewangan yang dihulurkan tersebut menyampaikan suatu mesej yang mendalam kepada para pelajar asnaf.
“Apabila kita menghulurkan bantuan kewangan kepada para pelajar asnaf melalui Tabung Khairat UIAM Kuantan dan Tabung Endowmen UIAM, kita sebenarnya menyampaikan suatu mesej yang mendalam bahawa kemiskinan seseorang anak muda tidak seharusnya menentukan batas masa depannya. Keadaan hidup yang mencabar tidak wajar memadamkan sinar potensi yang dimilikinya.

“Pada hari ini, setiap nama dalam senarai (asnaf) tersebut melambangkan harapan sebuah keluarga, pelaburan sebuah komuniti, dan janji institusi ini yang ditunaikan. Setiap sumbangan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan, demi ilmu dan membantu mereka yang memerlukan, merupakan amal yang berpanjangan pahalanya. Terima kasih kepada badan-badan korporat serta agensi Kerajaan Negeri yang dihormati.
“Inilah universiti sebagaimana seharusnya, bukan menara gading yang terpisah daripada realiti kehidupan masyarakat, tetapi merupakan sebahagian hidup daripada masyarakat itu sendiri yang peka terhadap keperluannya dan berakar pada kesejahteraannya,” titah baginda.
Paduka Baginda turut bertitah bahawa kecemerlangan mampu dicapai melalui gabungan bakat, disiplin dan sokongan berterusan daripada institusi.
“Ia membuktikan bahawa kecemerlangan mampu dicapai apabila bakat digandingkan dengan disiplin serta disokong oleh institusi yang percaya kepada warganya. Pencapaian anda melangkaui keputusan di papan skor. Anda adalah kebanggaan UIAM dan sumber inspirasi kepada setiap pelajar di kampus ini,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

