Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
PUTRAJAYA, 30 MAC 2026 : Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Dr. Mohamed Taufiq Johari bagi membincangkan kerjasama serta hala tuju pembangunan belia dan sukan.
Menurut YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, kunjung hormat ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan kepimpinan baharu Kementerian Belia dan Sukan Malaysia di samping meneruskan kesinambungan kerjasama baik antara Kerajaan Negeri Pahang dan kementerian.

“Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk mengeratkan silaturahim bersama dengan YB Menteri Belia dan Sukan yang baru dan pada masa yang sama kita nak meneruskan kesinambungan kerjasama baik antara Kerajaan Negeri Pahang dan juga Menteri Belia dan Sukan yang baru ini.
“Pada masa yang sama kita nak mendengar misi dan visi Menteri Belia dan Sukan yang baru ini serta perancangan beliau untuk masa hadapan khusus berkait dengan sukan dan juga belia.
“Saya juga menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri Pahang dan juga permintaan daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Majlis Sukan Pahang, Perbadanan Stadium Darul Makmur dan juga Majlis Belia Negeri Pahang dan saya boleh nyatakan bahawa perjumpaan ini cukup positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjung hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Dr. Mohamed Taufiq Johari di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.
Dalam pertemuan tersebut, beliau menyatakan bahawa kepimpinan baharu Kementerian Belia dan Sukan Malaysia mempunyai visi dan misi yang jelas, sekali gus mampu memperkukuh sinergi serta kerjasama erat antara kedua-dua pihak.
“Saya kira Menteri Belia dan Sukan yang baru ini, orang muda mempunyai visi dan misi yang cukup jelas. Jadi kita akan wujudkan satu sinergi dan kerjasama yang rapat antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan ini dan fokus kita untuk memperkasa belia kerana kita sangat mementingkan soal masa depan mereka dan kita akan menggunakan sukan sebagai pemupuk perpaduan di kalangan rakyat di seluruh Negara khususnya di Negeri Pahang.

“Saya akan membuat tindakan susulan selepas ini bersama dengan agensi-agensi yang terlibat tentang permintaan dan hasrat yang telah kita sampaikan.
“Tapi saya optimislah bahawa Menteri Belia dan Sukan yang baru ini akan sehabis baik memberikan kerjasama dan beliau sendiri dah menyatakan komitmen tersebut dalam perjumpaan tadi,” katanya.
Pertemuan tersebut turut disertai oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Nor Azli Mohamad Daud; Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar; Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, Encik Izad Zainal Muhammad Safian; dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Saharudin Ahmad. -PAHANGMEDIA

