Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 29 MAC 2026 : Rumah terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim diantara semua pihak sama ada pengunjung mahupun penduduk setempat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ia dapat dilihat melalui persiapan secara gotong royong sejak tiga hari lepas.

“Di mana setiap kali lebaran, kita akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri khusus untuk orang Dong dan juga orang Raub. Jadi, tujuannya adalah mengeratkan silaturahim sesama kita dan yang paling penting, meraikan Aidilfitri.
“Dan saya di fahamkan mereka memang tertunggu-tunggu open house di Dong ni untuk nak ambil kesempatan untuk bertemu dengan sahabat dan saudara-mara.
“Kita buat kebanyakan ini secara gotong-royong. Macam masak gulai kawah. Saya difahamkan ada enam kawah. Gabung empat kampung. Dah dua hari dah orang bergotong-royong, berjaga malam, masak menyediakan juadah-juadah lain, bakar lemang dan sebagainya. Ini muhibah kita di Dong ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, rumah terbuka yang menjadi acara tahunan DUN Dong ini juga menjadi tempat mempromosikan makanan tradisi dan terkenal di daerah ini secara terus kepada orang ramai.
“Dah tiga tahun berturut-turut rumah terbuka saya, kita tempah daripada Sate Pak Harun ni. Kali ni 15,000 cucuk sekejap je habis. Marilah datang ke Sungai Pasu, menikmati Sate Pak Harun atau Sate Obama di tepi tasik yang indah dan di sekelilingnya ada homestay. Jadi nak bermalam pun boleh.
“Kita bawa antaranya adalah Sate Pak Harun atau Sate Obama ,dodol gula kabung Isa dari Ulu Dong, gulai kawah yang memang sedap, masakan daripada Kuala Gali dan banyak lagi menu-menu lain yang memang kita sahaja promote sempena rumah terbuka ni,” katanya.

Menurut beliau sambutan pada tahun ini dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung juga diluar jangkaan namun disambut dengan sangat meriah.
“Kita juga sediakan hadiah cabutan bertuah dan panggil beberapa artis untuk buat persembahan tujuannya untuk mengeratkan silaturahim sesama kita.
“Cuma saya tak sangka ramai betul yang hadir hari ni. Menu sebenarnya dah bertambah sekali ganda berbanding dengan tahun lalu, tapi saya difahamkan macam kambing golek habis awal sikit walaupun kita dah tambah sekali ganda,” katanya. -PAHANGMEDIA

