Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 MAC 2026 : Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan pengurangan kadar kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 10 peratus sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, sasaran itu dilihat mampu dicapai menerusi pelbagai pendekatan advokasi dan penguatkuasaan bersepadu melibatkan pelbagai agensi keselamatan lain.
Katanya, usaha tersebut diperkukuhkan melalui pelaksanaan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri yang berlangsung di kawasan rehat dan rawat (R&R) Gambang Hala Timur, malam tadi.
“Semalam PDRM (Polis Diraja Malaysia), hari ni pihak JPJ bersama dengan bomba dan sebagainya yang secara bersepadu sebab usaha untuk kita mengurangkan kemalangan di negeri Pahang ni dan kita punya sasaran kita nak kurang 10 peratus daripada tahun lepas.

“Dan untuk makluman juga, pihak JPJ sentiasa buat advokasi keselamatan jalan raya ini bukannya secara orang kata bermusim tetapi sebenarnya secara sepanjang tahun, sepanjang masa.
“Contohnya daripada tempoh daripada 1 Januari sehingga 17 Mac, sebanyak 14 program advokasi pihak JPJ telah laksanakan, jadi 14 program advokasi dan ceramah keselamatan jalan raya ini yang melibatkan pelbagai kompleks sasaran seperti pelajar sekolah, pemandu kenderaan awam, penjawat awam dan juga komuniti setempatlah,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program berkenaan, di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah JPJ Negeri Pahang, Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman dan barisan wakil agensi keselamatan terlibat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan unjuran trafik, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dijangka mencatatkan kira-kira 934,000 kenderaan sepanjang tempoh tersebut, dengan kemuncak trafik dijangka berlaku pada 28 Mac mencecah sehingga 106,000 kenderaan sehari.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa PDRM telah mengenal pasti 38 lokasi ‘blackspot’ iaitu kawasan kerap berlaku kemalangan serta 22 ‘hotspot’ yang berpotensi mengalami kesesakan di seluruh negeri ini.

Dalam masa sama, operasi khas keselamatan sempena perayaan turut dilaksanakan menerusi Op Selamat yang dilancarkan di Muadzam Shah, sebagai langkah proaktif memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memupuk budaya pemanduan berhemah secara berterusan dan bukan bermusim. Usaha ini diperkasakan melalui pelaksanaan pelbagai program advokasi yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan dengan mematuhi undang-undang jalan raya termasuk had laju, pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.
“Akhir sekali, sekali lagi saya menyerulah agar semua pengguna-pengguna jalan raya khasnya pada pemandu-pemandu supaya memegang prinsip ‘pandu cermat jiwa selamat’ sebagai panduan dalam ke dalam setiap perjalanan,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

