Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 18 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sedang berusaha menyelesaikan isu bagi memastikan penyerahan suratan hak milik kepada baki 932 peneroka Felda di negeri ini dapat diserahkan pada tahun ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri sebelum ini telah menyerahkan suratan hak milik kepada 42,194 peneroka atau 98 peratus.

“Tadi saya beritahu bahawa Negeri Pahang ini suratan hak milik telah kita serahkan kepada peneroka lebih kurang 98 peratus daripada RM43,000 lebih peneroka.
“Dan baki 2 peratus kita akan cuba selesaikan pada tahun ini. Kita cuba selesaikan pada tahun ini. Dah tak banyak dah. Itu pun bukan masalah apa. Masalah teknikal, masalah mendapat kebenaran waris dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberi perhatian serius kepada warga Felda di negeri ini melalui kebajikan serta ekonomi.

Beliau berkata perjumpaan bersama ketua blok Felda pada hari ini juga mendengar permintaan berkaitan pembangunan perumahan di rancangan Felda.
“Dan rata-rata saya lihat Ketua Blok menginginkan bahawa banyak lagi pembangunan dilakukan di rancangan Felda terutamanya yang melibatkan perumahan. Dan setakat hari ini kita telah cuba menyelesaikan secara berperingkat-peringkat namun ada lagi yang belum diselesaikan tetapi kita akan usahakan.
“Yang pentingnya ada peningkatan. Sebagai contohnya sekarang ini Kerajaan Negeri berusaha supaya setiap tapak rumah, kalau dulunya mengikut aktanya tapak rumah hanya untuk sebuah rumah.
“Sekarang ini Kerajaan Negeri Pahang telah membawa perkara ini ke peringkat persekutuan untuk membolehkan lebih daripada satu buah rumah dibina untuk generasi kedua, dan Kerajaan Persekutuan akan beri pertimbangan perkara ini malahan telah pun ada generasi kedua membina rumah ketika ini,” katanya.
Tambah beliau Kerajaan Negeri juga dalam usaha membantu generasi kedua Felda untuk mendapat kebenaran daripada Kerajaan Persekutuan berkenaan perkara ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Muafakat Felda dan Kepimpinan Ketua Blok Pahang Bersama-sama YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Kompleks Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). -PAHANGMEDIA

