Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 16 MAC 2026 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membantu 10,000 anak perantau negeri ini pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
Program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaan sejak diperkenalkan pada 2024 ini turut meningkatkan jumlah baucer daripada RM50 kepada RM100 serta jumlah penerima daripada 5,000 penerima kepada 10,000 berbanding tahun sebelumnya.

Pemberian baucer raya pada tahun ini juga dipertingkatkan secara lebih moden dan digital melalui pembelian barangan menerusi aplikasi e-wallet PahangGo.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah menyerahkan baucer raya kepada 2,000 penerima pada Majlis Penyerahan Baucar Raya Moh Balik Negeri Pahang di Stadium Titiwangsa malam tadi manakala 8,000 penerima lagi akan menerima baucar melalui penyerahan oleh kepimpinan negeri di kampung halaman masing-masing di Pahang.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, nilai baucar dinaikkan kepada RM100 seorang, berbanding RM50 pada tahun 2025 dan 2024 yang melibatkan 5,000 anak Pahang.

“InsyaAllah kita akan tingkatkan dari semasa ke semasa, terima kasih atas doa anak-anak Pahang kepada kerajaan negeri yang membolehkan kita menguruskan kewangan dengan baik dan kembalikan kepada rakyat.
“Daripada jumlah keseluruhan penerima itu, seramai 2,000 anak Pahang menerima baucar, manakala baki 8,000 lagi akan diagihkan melalui pemimpin di kawasan masing-masing,” katanya.
Untuk rekod, program ini menerima sambutan luar biasa dengan 77,452 permohonan dalam tempoh tujuh hari permohonan dibuka dan pemilihan dilaksanakan secara teliti oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang bagi memastikan pengagihan dilakukan secara adil serta mengelakkan pertindihan penerima.
Pemberian baucer raya dengan kerjasama Sekretariat Perantau Anak Pahang ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menjadi penghubung dengan anak-anak Pahang di perantauan. -PAHANGMEDIA

