Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 16 MAC 2026 : Doa anak-anak Pahang membolehkan Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan kewangan yang baik dan dapat memberikan baucer raya anak perantau kepada RM100 setiap penerima berbanding RM50 seorang sebelum ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, jumlah penerima baucar juga telah dinaikkan dari 5,000 orang kepada 10,000 penerima pada tahun ini.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Pahang punya kedudukan kewangan yang agak baik, kita naikkan kalau dulu, dua tahun yang lepas, 2024, 2025, RM50 kepada 5,000 orang.

“Pada kali ini, kita bagi RM100 kepada 10,000 orang. InsyaAllah, kita akan pertingkatkan daripada semasa ke semasa.
“Terima kasih atas doa anak-anak Pahang kepada Kerajaan Negeri Pahang yang membolehkan kita uruskan kawangan Negeri Pahang dengan baik dan kita boleh kembalikan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata baki pemberian Baucar Raya yang moden dan digital kepada 8,000 penerima lagi akan diuruskan oleh pemimpin kawasan masing-masing.

Beliau turut berkata kedudukan kewangan negeri yang dapat dinikmati semua anak Pahang ini juga merupakan hasil daripada pengurusan ketirisan dan tunggakan hasil yang baik oleh Kerajaan Negeri.
“Ini kita uruskan ketirisan, kebocoran, tunggakan. Kerana dulu tunggakan cukai tanah begitu tinggi, kita uruskan dengan baik, kita kutip, dan ini boleh menjana keuntungan. Selain daripada peningkatan hasil-hasil yang lain, sumber-sumber baru dan sebagainya.
“Kita tubuhkan Unit Penguatkuasa sebagai contohnya. Kalau dulu sampai orang kata kita nak buat pembalakan haram datang ke Pahang, curi pasir datang ke Pahang. Sekarang ni kita ada satu pasukan khas. Sekiranya mereka membuat aktiviti-aktiviti yang tidak sihat ini, tindakan seperti itu akan diambil.
“Malahan kita tidak kompaun, kita bawa ke mahkamah. Tujuan dia bukan untuk mengaibkan mana-mana individu tetapi adalah untuk beri pengajaran kepada mereka bahawa hasil mahsul Kerajaan Negeri, khazanah negeri tidak boleh diteroka secara haram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Baucar Raya Moh Balik Negeri Pahang di Stadium Titiwangsa. -PAHANGMEDIA

