Oleh: Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 13 MAC 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 22 penerima dari daerah ini, Raub dan Bentong, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis berkenaan diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga & Transformasi Air (PETRA), YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Mohamad; Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Mubarak Saeed Aldhaheri; serta barisan ketua-ketua jabatan.
Daripada 22 penerima terbabit, 12 penerima adalah dari daerah ini, lapan bagi daerah Raub dan dua bagi daerah Raub.
Paduka Baginda bertitah mengingatkan kepada kepada para penerima agar menjaga kediaman yang dikurniakan dengan sebaik-baiknya dan tidak sesekali menjual atau menyewakannya.

“Harap jagalah rumah ini dengan sebaik mungkin. Jadilah rumah ini syurga kepada kita dan keluarga kita. Sekali lagi saya nasihat, jangan jual, jangan sewa. Saya akan cari siapa-siapa yang menjual dan sewa.
“Rumah ini begitu berharga bagi saya dan Raja UAE untuk kesejahteraan rakyat kita di sini. So (jadi), saya harap saya harap ini dapat diingat, biarlah rumah ni sampai ke anak cucu. Ya, jadi pusaka kepada anak cucu.
“Sebab tanah, tanah awak punya. Dah dapat rumah ‘free’ lagi. ‘So’, jaga dengan baik. Kalau perlu pembetulan, minta dengan wakil rakyat,” titah Paduka Baginda dalam majlis berkenaan yang berlangsung di Kampung Binjai, di sini hari ini.
Dalam pada itu Paduka Baginda turut berharap projek jambatan Kampung Binjai bernilai RM63 juta dapat disiapkan mengikut jadual meskipun terdapat sedikit kelewatan dalam pelaksanaannya.
“Saya harap tidak ada kelewatan lagi. Dan saya harap projek ini dapat disiapkan ‘on time’ kerana semakin hari semakin tua kita ini, khususnya saya. Saya nak tengok lah projek ini disiap pada dalam dua tahun lagi, Februari dua tahun lagi… 2028,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA

