Oleh: Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 13 MAC 2026 : Seorang ibu tunggal tidak dapat menahan sebak apabila menjadi antara penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah di Kampung Binjai, di sini hari ini.
Puan Wan Jasdiena Wan Jasman, 42, berkata pengurniaan rumah berkenaan memberi sinar baharu buat dirinya dan tiga orang anak selepas sekian lama terpaksa hidup berpindah-randah kerana tidak memiliki kediaman sendiri.
Menurutnya, sebelum ini beliau menyara keluarga dengan berniaga makanan secara kecil-kecilan dan menyewa rumah dengan pendapatan yang tidak menentu.
“Lama juga menunggu, lebih kurang setahun. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuanku dan juga kerajaan negeri kerana mengurniakan rumah ini kepada saya dan anak-anak.
“Sebelum ini kami memang berpindah-randah kerana tidak ada rumah sendiri. Dengan pendapatan yang sedikit daripada berniaga makanan, bila dapat rumah ini memang gembira sangat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Ru’RASA di Kampung Binjai, di sini hari ini.
Puan Wan Jasdiena yang menetap di Kampung Tempoyang berkata, beliau bersyukur kerana berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di rumah baharu bersama anak-anaknya yang berusia 16, 14 dan 11 tahun.
“InsyaAllah, tahun ini kami akan sambut Aidilfitri di rumah baharu. Saya sangat bersyukur,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Encik Mohd Rizuan Mohd Ghazali, 48, berkata pengurniaan rumah berkenaan amat bermakna buat dirinya dan isteri, Puan Faridah Yusuf, 48, selepas hampir 10 tahun menumpang di rumah ibu.

Menurutnya, rumah lama mereka sebelum ini runtuh menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa tinggal bersama ibu di kampung.
“Sebelum ini kami duduk di rumah seberang sana, tetapi rumah itu runtuh. Sejak itu kami menumpang di rumah emak hampir 10 tahun.
“Bila dapat rumah ini memang rasa bersyukur sangat, Allahuakbar. Ini rezeki besar untuk kami sekeluarga.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuanku atas pengurniaan rumah Ru’RASA ini kepada kami sekeluarga dan juga kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan rumah ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

