Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 Mac 2026 : Seramai 400 peserta telah menyertai Program World #QuranHour (WQH) 2026 bertempat di Masjid Sultan Ahmad Shah Sungai Isap, di sini, hari ini.
Program ini diadakan bertujuan untuk menghayati mesej Al-Quran melalui sesi tadarus dan tadabbur yang dipimpin qari daripada Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah, Muhammad Fazril Manurung dan Pengerusi Maahad Tahfiz Tadabbur, Mohd Alif Mahari.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), Puan Nor Zahira Muhammad Azmi berkata, program WQH ini adalah merupakan program kali ke-12 yang telah diadakan secara serentak selama sejam di seluruh dunia.
Beliau berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan pihaknya berharap penganjuran program tersebut dapat diperluaskan dengan melibatkan beberapa masjid secara serentak di seluruh Pahang pada masa akan datang.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dengan kehadiran sekitar 400 peserta. Kita juga merancang untuk memperluaskan penganjuran program ini pada masa akan datang, termasuk kemungkinan untuk melibatkan beberapa masjid secara serentak di seluruh daerah di Pahang,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Program itu turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Encik Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Program ini merupakan antara inisiatif yang digerakkan oleh Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Perpustakaan Negara Malaysia dalam usaha membudayakan amalan membaca serta menghayati Al-Quran dalam kalangan masyarakat. – PAHANGMEDIA

