Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 06 FEBRUARI 2026 : Kursus Kepimpinan Tun Abdul Razak membawa kesan positif melibatkan kepimpinan dan mencintai negara kepada pelajar terlibat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, kursus yang masuk tahun ke-31 pelaksanaannya ini sangat bermakna dalam membangunkan negara.

“Sepanjang dua minggu, peserta-peserta telah mengadakan pelbagai program, modul yang berteraskan kepimpinan dan menghayati nilai-nilai yang telah diterapkan oleh Allahyarham Tun Razak semasa beliau menjadi pemimpin.
“Nilai-nilai seperti pentingnya kita berkhidmat kepada negara, pengorbanan sebagai pemimpin, pertimbangan integriti dan sebagainya. Dan saya lihat kesannya amat positif kepada pelajar-pelajar di sini,” katanya.
Beliau turut melahirkan kepercayaan bahawa program seumpama ini dapat melahirkan generasi masa hadapan yang berjaya dan berkhidmat untuk negara dengan baik.

“Dan saya percaya mereka mempunyai masa depan yang begitu cerah sekali untuk berjaya di kerjaya masing-masing dan berkhidmat untuk negara.
“Saya juga berharap program ini dapat diteruskan sampai bila-bila kerana ia begitu bermakna untuk melahirkan generasi kepimpinan Malaysia yang berfikiran jauh dan mempunyai niat dan tekad dan semangat untuk membangunkan negara, insyaAllah dengan nilai-nilai yang telah ditunjukkan oleh Tun Razak pada satu ketika,” katanya.
Tambah beliau, program edisi tahun ini yang dijayakan di dua lokasi iaitu di Kuala Lumpur dan di Pahang, telah memilih enam peserta untuk mengikuti program lanjutan di United Kingdom.

“Dan istimewanya program pada kali ini, di antara 70 peserta yang dipilih, enam telah diberi peluang untuk mengikuti program lanjutan di UK untuk menjejak kembali perjalanan Allahyarham Tun Razak sebagai pelajar dan juga sebagai pemimpin di sana.
“Di mana mereka akan mengikuti pelbagai program di Oxford dan juga di lokasi-lokasi lain yang menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan Program Kepimpinan Tun Abdul Razak Kali Ke-31 di Grand Hyatt Hotel. -PAHANGMEDIA

