Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 05 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Pahang telah melaksanakan perolehan kerajaan secara elektronik menerusi Sistem Perolehan Elektronik Kerajaan Negeri Pahang (ePPHG) bagi memperkukuh tadbir urus Kerajaan Negeri.
Menurut YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh, sistem perolehan ini bertujuan memudahkan tadbir urus kerajaan serta mengurangkan kebergantungan kepada proses manual.
“Sistem perolehan ini bertujuan untuk memudahkan tadbir urus perolehan kerajaan. Kedua, mengurangkan kebergantungan daripada proses manual.
“Kerajaan nak kita digitalisasikan dan pendigitilan ini sudah tentu akan membawa lebih baik dari segi sistem penyampaian kepada golongan sasaran kita. Kita nak berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar pada Majlis Pelancaran Sistem Perolehan Elektronik Kerajaan Negeri Pahang (ePPHG) di AC Hotel, hari ini.
Tambahnya, sistem ePPHG akan diperluaskan secara berperingkat merangkumi modul sebut harga, tender, pengurusan kontrak dan e-bidding.
“Sistem ePPHG ini akan diperluaskan kepada modul lain juga. Selepas ini kita ada modul sebut harga, modul tender jika terlibat dengan tender. Kemudian kita akan ada pengurusan kontrak, e-bidding dan sebagainya secara berperingkat.
“Selepas ini kita akan berterusan sehingga tidak ada lagi secara manual yang kita buat di pejabat-pejabat daerah,” katanya. -PAHANGMEDIA

