Oleh : Yusof Tashfin
MARAN, 05 FEBRUARI 2026 : Kehebatan adik Aiman Danish Iskandar, pelajar Tingkatan 4 SMK Desa Jaya, Maran dalam bermain gitar sehingga mencecah 27 juta tontonan menerusi platform TikTok mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi & Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam.
YB Dato’ Amizar telah mengadakan lawatan ke rumah keluarga adik Aiman di FELDA Jengka 11 untuk melihat sendiri kehebatan adik Aiman bermain gitar, malam tadi.
Katanya, bakat yang ada pada adik Aiman Danish, seorang cucu peneroka FELDA dari FELDA Ulu Jempol ini memang luar biasa dan ini menjadi bukti identiti orang FELDA yang sederhana asalnya tetapi luar biasa hasilnya.

“Bakat yang ada pada adik Aiman boleh berkembang jauh, bahkan sebenarnya setara dengan pemain gitar yang lebih dewasa daripadanya.”
“Yang penting pelajaran tetap perlu diutamakan. Adik Aiman perlu pastikan perkembangan bakat dan perkembangan dalam pelajaran bergerak seiring,” ujarnya.
YB Dato’ Amizar turut menyampaikan hadiah gitar daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebagai tanda penghargaan atas bakat yang diperolehi adik Aiman.

Dalam pada itu, bapa kepada adik Aiman, Mohd Khirul Izuan Abdullah berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang dan YB Dato’ Amizar atas lawatan serta perhatian yang diberikan.
“Saya gembira kerana bakat yang ada pada anak saya mendapat perhatian pihak Kerajaan Negeri Pahang.”
“Saya sendiri memang seorang pemuzik dan memang saya yang ajar sendiri adik Aiman sejak kecil lagi,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang sentiasa meraikan bakat anak-anak Pahang. Ini termasuklah memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan kreativiti menerusi platform Karya Anak Pahang. -PAHANGMEDIA

