Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 04 FEBRUARI 2026 : Daerah Pekan menjadi daerah keempat yang hampir berjaya menyelesaikan masalah bekalan air susulan siapnya Loji Rawatan Air Sungai Miang di Tangki Sungai Miang, di sini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, loji berkenaan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2,100 akaun pengguna di kawasan sekitar.
Katanya, sebelum ini Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan 90 peratus masalah daerah Raub, Bentong dan Cameron Highlands.
“Alhamdulillah, saya menjangkakan daerah Pekan merupakan daerah keempat yang kita berjaya menyelesaikan masalah air sehingga 90 peratus.

“Daerah lain iaitu di Raub, Bentong dan Cameron Highland telah pun selesai dan daerah yang berikutnya ialah Pekan dan akan diikuti oleh daerah-daerah lain,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Bekalan Air Nenasi sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Bebar 2026 di Tangki Sungai Miang, hari ini.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri optimis sasaran menyelesaikan 90 peratus masalah bekalan air di seluruh Pahang dapat dicapai menjelang akhir tahun ini berdasarkan kemajuan projek-projek yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Badan Air Pahang serta seluruh warga kerja terlibat yang sanggup bekerja siang dan malam demi memastikan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat terus dipertingkatkan.

“Cuma saya minta mereka viralkan juga kerja-kerja mereka pukul 2.00 pagi, pukul 3.00 pagi, pukul 1.00 pagi ya, yang orang tidak tahu ya,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, Pahang mempunyai rangkaian paip air sepanjang kira-kira 13,000 kilometer dan lebih satu perempat daripadanya telah berjaya diganti setakat ini sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan sistem bekalan air negeri.
Tambahnya, walaupun isu bekalan air bersifat berterusan susulan pertambahan penduduk dan pembangunan, sasaran 90 peratus penyelesaian dianggap realistik dan signifikan buat kesejahteraan rakyat.
“Alhamdulillah, bila kita turun padang, kita pergi ke kawasan-kawasan perkampungan, sekarang ini sudah sangat minima penduduk-penduduk membangkitkan permasalahan air berbanding dengan dulu.
“Apa yang saya dengar sekarang ini, baru-baru ini saya balik ke kawasan saya sendiri, orang kata terima kasih Tok Wan, masalah air tidak ada dah.
“Jadi ini adalah hakikatnya dan ini jelas membuktikan bahawa agensi kerajaan aa PAIP telah aa menjalankan tugas begitu baik untuk rakyat,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

