Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 2 FEBRUARI 2026 : Kegagalan syarikat telekomunikasi (telco) yang masih gagal menyelesaikan isu capaian talian internet dan telefon di Pulau Tioman bukan sahaja menimbulkan keresahan penduduk setempat tetapi dikesali kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, isu berkaitan talian komunikasi tidak boleh dipandang ringan kerana ia kini menjadi keperluan utama rakyat selepas bekalan air dan elektrik.
Justeru beliau berkata, kerajaan negeri akan meminta laporan penuh daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan isu tersebut yang terus berlarutan.
“Setiap aduan rakyat perlu diambil tindakan segera. Jangan tunggu dua atau tiga hari baru nak turun ke lokasi.
“Bila aduan sampai kepada saya sebagai Exco, maknanya isu itu sudah serius dan perlu diberi perhatian segera,” katanya ketika ditemui pada Program Jom Briskwalk bersama YB Fadzli 2026 Anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dong, di sini semalam.
Lebih 100 penduduk Kampung Salang di Pulau Tioman, di sini, hidup dalam keresahan susulan ketiadaan talian komunikasi melibatkan telefon dan capaian internet.
Menurutnya, beliau meminta SKMM untuk memantau secara rapat prestasi syarikat-syarikat telekomunikasi di negeri ini.
“Saya telah minta pihak SKMM memberi teguran kepada telco supaya memperbaiki mutu perkhidmatan mereka dan tahun lalu kita sudah adakan sesi libat urus dan mereka berjanji akan memperbaiki keadaan, namun aduan masih berterusan.
“Saya tidak berpuas hati kerana perkara ini melibatkan pendidikan, urusan perniagaan, pekerjaan harian dan keselamatan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, YB Tuan Fadzli turut mempersoalkan tindakan sesetengah syarikat telekomunikasi yang menghantar pasukan teknikal dari ibu pejabat luar negeri, sekali gus menyebabkan kelewatan membaiki gangguan di Pahang.

