Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 30 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini tanpa pernah meminggirkan mereka.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini dapat dilihat daripada pelbagai perkara yang dicapai oleh Kerajaan Negeri bagi membangunkan masyarakat Orang Asli.

“Kalau dulu, saya tengok rekod dapat RM33 sebulan, ladang sawit masyarakat Orang Asli. Sekarang ini, tuan-tuan dan puan dapat RM900 lebih.
“Dulu tak ada sekolah menengah pun. Kita minta, kita lawan, kita dapat K9 yang sekolah sampai Tingkatan 3. Tak cukup kita minta lagi, sampai K11, akhirnya dapat. Dulu bekalan air dan bekalan elektrik pun tak ada di Betau, dapat 12 jam, kemudian bila saya jadi wakil rakyat, kita lawan-lawan, akhirnya dapat 24 jam.
“Tanah rizab Orang Asli tidak pernah kurang pun daripada apa yang telah diputuskan oleh kerajaan daripada dulu. Jadi kalau ada orang kata tanah rizab Orang Asli akan diambil, sebenarnya tak betul,” katanya.

Beliau berkata jalan baharu juga akan dibina bagi menggantikan jalan ke Pos Sinderut sejauh 35 kilometer yang rosak teruk melalui peruntukan yang telah pun diluluskan.
“Jadi untuk kali kedua ini kita minta kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberi peruntukan yang secukupnya. Kita tidak mahu peristiwa berulang dua kali, jalan elok tapi tar nipis, jalan rosak.
“Kita akan minta balik. Tetapi untuk kali ini saya beranggapan dengan peruntukan RM320 juta lebih, jalan yang dibuat ini jauh lebih baik daripada jalan ini dan ia memberi kemudahan kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Santai Malam Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Pos Sinderut, Lipis.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Beliau sebelum itu, telah beramah mesra bersama anak-anak Orang Asli di Tadika Kampung Orang Asli Tual. -PAHANGMEDIA

