Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 29 JANUARI 2026 : Kunjungan barisan pimpinan Kerajaan Negeri Pahang menerusi Program Ziarah Makmur sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) Daerah Maran di Felda Jengka 2 dan kampung sekitar di sini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyampaikan maklumat berkaitan bantuan dan kebajikan secara terus kepada golongan memerlukan.
Antara penerima ziarah ialah penjaga pesakit kanser, Encik Mohd Ghazali Mohd Mokhtar, 35, yang menjaga kakak iparnya, Puan Faridah Kadir, 47, bekas guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat yang menghidap kanser payudara tahap empat.
Menurut Encik Mohd Ghazali, kunjungan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar bersama ketua jabatan terlibat membolehkan beliau memperoleh maklumat lebih jelas mengenai saluran bantuan yang boleh dimohon bagi meringankan beban pesakit dan keluarga.
“Kami sangat berterima kasih kerana pihak Kerajaan Negeri sudi turun padang dan mengambil berat keadaan kakak ipar saya.
“Kos rawatan memang tinggi kerana rawatan perlu dijalankan di Kuala Lumpur, khususnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan ia berterusan sejak hampir empat tahun,” katanya.
Beliau berkata, penyakit kanser tersebut dikesan selepas kakak iparnya itu mengalami kesakitan pada sendi dan tulang sebelum disahkan menghidap kanser payudara yang telah merebak ke tulang kira-kira empat tahun lalu.
Tambahnya, arwah suami pesakit yang meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum ini menguruskan rawatan pada peringkat awal meninggal dunia setahun kemudian di mana selepas itu, Puan Faridah berpindah di rumah ibunya di Felda Jengka 2.
“Bantuan yang diterima sebelum ini kebanyakannya bersifat sekali sahaja (one-off). Apabila ada program seperti ini, kami dapat mengetahui bantuan lain yang mungkin sebelum ini tidak kami maklum, termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya memaklumkan bahawa Puan Faridah mempunyai tiga orang anak berusia 17, 15 dan 11 tahun yang masing-masing telah memohon bantuan pendidikan dan kebajikan termasuk daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Kampung Jara, Puan Maznah Che Soh, 53, turut melahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri selepas menerima kunjungan Ziarah Makmur.
Maznah menjaga suaminya, Encik Shaari Md Hussin, 98, yang terlantar sejak enam bulan lalu akibat kemalangan motosikal di mana selepas kejadian itu, doktor turut mengesan pelbagai penyakit lain termasuk kencing manis.
Menurutnya, program turun padang seumpama itu amat membantu penduduk luar bandar untuk mengetahui jenis bantuan yang boleh dimohon serta saluran yang betul.
“Apabila pihak Kerajaan Negeri turun sendiri, urusan jadi lebih mudah. Kami tahu ke mana hendak mohon bantuan dan ia sangat meringankan beban keluarga. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Program Ziarah Makmur sempena PSRM diteruskan lagi pada tahun ini di mana ia merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian. -PAHANGMEDIA

