Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 28 JANUARI 2026 : “Saya rasa bersyukur saya sebagai anak Pahang,” kongsi atlet lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata yang juga berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Sea Ke-33 di Thailand.
Nani Sahirah, 25, merupakan penerima insentif tertinggi sebanyak RM10,000 yang turut meraih pingat emas acara lontar peluru melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di atas pemberian insentif ini.
“Saya bersyukur sebab Tok Wan (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy) dan YB Fadzli naikkan (insentif kemenangan) sampai RM 8,000. Duit ini saya cadang nak guna untuk pergi umrah.

“Perancangan untuk masa depan, saya lebih fokus pada Asia Games pada bulan September nanti dekat Osaka. Coach saya sasarkan saya dapat medal insyaAllah, sebab kalau tengokkan ranking saya sekarang ini nombor 5. Saya usahakanlah untuk dapat medal,” kata anak kelahiran Kuantan ini.
Sementara itu, Mohammad Yusshazwan Yusoff, 31, turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang disifatkan cakna terhadap atlet termasuklah atlet kurang upaya seperti dirinya
“Kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih banyak kepada Kerajaan Negeri kerana cakna tentang atlet, terutama atlet kekurangan upaya. Saya harap perkara ini akan berterusan.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah, rasa bangga lah untuk bawa nama Malaysia, Pahang, dan keluargalah. Alhamdulillah bangga.
“Target (emas) tu kita targetlah tapi pencetus terutama tulang belakang saya, isteri saya yang tak henti-henti bagi sokongan, moral support hari demi hari, dan juga keluarga yang sentiasa beri kata-kata semangat,” katanya yang meraih pingat emas bagi tenis kerusi roda perseorangan dan pingat gangsa bagi beregu lelaki.
Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Pahang di Sukan Sea Ke-33 dan Para Asean Ke-13 Thailand 2025 disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal. -PAHANGMEDIA

