Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus meletakkan usaha menegakkan dan memperkasa syiar Islam sebagai keutamaan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, komitmen tersebut bukan sekadar janji lisan, sebaliknya diterjemahkan dalam bentuk peruntukan kewangan yang besar kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan agensi berkaitan.
“Kerajaan Negeri Pahang ini, saya bersama rakan-rakan saya, insyaAllah, keutamaan kita ialah pembangunan syiar Islam di negeri Pahang. Dan ini kita bukan cakap, tuan-tuan dengar, tuan-tuan seronok, tidak. Ini dibuktikan dengan pemberian duit sekali. Cakap saja tak diiring dengan duit tak jadi. Angka tidak pernah berbohong.
“Setakat hari ini tuan-tuan dan puan-puan, kerajaan negeri telah memberi peruntukan untuk meningkatkan syiar Islam Negeri Pahang ni berjuta-juta (ringgit) dah,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang Kali Ke-24 Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Pengarah JAIP, Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman.
Tambahnya, bermula tahun 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM147 juta bagi tujuan memperkasa syiar Islam, meningkat kepada RM148 juta pada 2023 dan RM162 juta pada 2024.
“Pada tahun lepas… 2025, Kerajaan Negeri Pahang bagi RM196 juta. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri Pahang bagi sebanyak RM235 juta,” katanya lagi.
Menurutnya, selain peruntukan kepada sektor agama, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan kepada rakyat meliputi bayaran gaji dan bonus, bantuan ibu tunggal, perkahwinan kali pertama, khatan, jemaah haji, pelajar universiti, belia yang memulakan pekerjaan serta bantuan bencana seperti banjir.

“Ini adalah hakikat. Angka tidak pernah berbohong. Apa yang kita bagi, yang saya sebutkan tadi, kita bagi dalam bentuk orang putih kata ‘hard cash’. Maknanya duit tunai.
“Kita masukkan ke dalam akaun-akaun tertentu untuk mempertingkatkan syiar Islam. Daripada segi gajinya, elaunnya… Kerajaan Negeri ambil alih. Sebab apa tuan-tuan dan puan-puan? Sebab kita meletakkan syiar Islam ini adalah tempat yang pertama di negeri Pahang ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah yang diraikan melibatkan 586 pelajar, 53 guru dan 18 buah SMAN di seluruh Pahang.
Katanya, majlis tersebut bukan sekadar penyampaian anugerah, sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap usaha, pengorbanan dan kesungguhan seluruh warga pendidikan agama di negeri ini.
Beliau turut menegaskan peningkatan prestasi peperiksaan SMA, SPM dan STAM setiap tahun adalah hasil perancangan yang tersusun, kepimpinan berkesan serta kerja berpasukan yang kukuh. -PAHANGMEDIA

