Oleh : Norhafizan Zulkifli
JOHOR, 23 JANUARI 2026 : Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Siswa Tahun 2026 terus mendapat reaksi positif dalam kalangan mahasiswa anak Pahang yang menyifatkan ianya sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail terhadap kebajikan pelajar.
Seorang penerima, Muhammad Najmi Farhan Sazali, 21, pelajar tahun kedua Sarjana Muda Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) berkata, ini merupakan kali kedua beliau menerima sumbangan IM Pahang yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Pahang.

“Jadi saya mengucapkan ribuan ucapan terima kasih kepada pihak pimpinan Kerajaan Negeri yang mana telah bertungkus lumus memberikan dan membantu anak-anak mahasiswa seluruh negeri Pahang yang mana belajar di semua IPTA (institusi pengajian tinggi awam) dan juga IPTS (institusi pengajian tinggi swasta).
“Saya rasa sangat bertuah kerana Pahang merupakan salah satu negeri yang mana memberikan banyak bantuan dan juga sumbangan kepada mahasiswa anak kelahiran Pahang itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, Auni Mayamin Md. Taib, 25, pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkata, bantuan IM Pahang sedikit sebanyak membantu mahasiswa yang memerlukan, khususnya dalam mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat.

“First of all (pertamanya), kita orang daripada MAMPAN (Majlis Mahsiwa Anak Pahang) UTeM nak mengucapkan terima kasih banyak-banyak atas Inisiatif Makmur ini yang dia bagi dekat siswa, siswi MAMPAN seluruh Malaysia, anak-anak Pahang.
“Benda ini macam sedikit sebanyak membantu kita yang memerlukan. So (jadi) kita orang mengucapkan terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi Wan Nurul Safiqah Wan Husin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, UTeM yang berharap agar inisiatif tersebut dapat diteruskan secara konsisten pada masa akan datang.

“Semoga diteruskan lagi dan insyaAllah moga konsisten lagi ke depan hari. Sebab ini bukan first time (kali pertama) kami dapat. Before this (sebelum ini) kami pernah dapat dan nilai dia bertambah, makin bertambah.
“So, insyaAllah ke depan hari, semoga lebih banyaklah nilainya dan lebih ramai lagi tiada seorang pun yang tertinggal, anak Pahang sendiri,” katanya memaklumkan telah menerima bantuan IM Pahang Kluster Siswa sebanyak empat kali, sekali gus mencerminkan kesinambungan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan mahasiswa.
Seramai 20,000 mahasiswa anak Pahang menerima manfaat daripada IM Pahang Kluster Siswa bagi tahun ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM9 juta.
IM Pahang Kluster Siswa merupakan antara inisiatif di bawah agenda kebajikan Kerajaan Negeri Pahang yang dilaksanakan sejak 2022, khusus bagi membantu mahasiswa anak Pahang agar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian tanpa terbeban dengan masalah kewangan.-PAHANGMEDIA

