Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
JOHOR, 23 JANUARI 2026 : Seramai 20,000 mahasiswa anak Pahang bertuah kerana dapat terus menikmati manfaat Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Siswa 2026 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM9 juta.
Ia merupakan pemberian bantuan kewangan RM400 secara one-off kepada setiap pelajar Pahang di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif yang diperkenalkan sejak tahun 2022 itu bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup ketika ini.
“Tujuan perjumpaan untuk menyampaikan sedikit bantuan kewangan kepada anak-anak yang sedang belajar iaitu bantuan one-off RM400 yang mana ini telah pun dilaksanakan sejak tahun 2022. Cuma pada tahun 2022, kita bagi RM200, kemudian meningkat.

“Jadi, dengan bantuan ini boleh meringankan sedikit dan tidak mengganggu tumpuan mereka untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Siswa 2026 di Dewan Sri Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Timbalan Menteri Ekonomi, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri Pahang.
Difahamkan seramai 675 mahasiswa anak Pahang dari pelbagai institusi pengajian tinggi di negeri ini menerima bantuan berkenaan pada majlis tersebut.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, Kerajaan Negeri memahami latar belakang pelajar yang berbeza-beza, termasuk ada dalam kalangan mereka yang terpaksa berjimat cermat dan mengikat perut demi menumpukan perhatian terhadap pelajaran tanpa membebankan ibu bapa.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah bantuan tersebut berkemungkinan akan ditambah pada tahun hadapan, bergantung kepada kemampuan kewangan Kerajaan Negeri.
“Tambahan tahun depan kita akan usahakan. Pastinya akan lebih daripada RM400 daripada sekarang. Tapi bergantung kepada keupayaan kewangan.
“Tapi, insyaAllah lah. Berasaskan kepada trend pengurusan kewangan di Negeri Pahang, Tok Wan jangkakan ini akan bertambah baik dan kita akan kembalikan kepada rakyat, terutamanya kepada pelajar-pelajar kerana mereka ini adalah aset negara, aset negeri,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

