Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 30 DISEMBER 2025 : Tujuh tapak bagi kerja-kerja pemulihan daripada 10 projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) telah ditamatkan perkhidmatan kontraktornya berikutan kegagalan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, namun demikian baki tiga lagi projek masih berjalan seperti dijadualkan.
“Rumah PGBF di Pahang ada sepuluh projek yang dikawal selia oleh pihak LPHP, di mana tujuh daripadanya kita telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan projek tersebut, tiga lagi masih dalam tindakan pembinaan oleh pihak pemaju.
“Projek PGBF tu bukanlah inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Cuma setelah projek itu terbengkalai, Kerajaan Negeri cuba untuk menyelesaikan dan memberi tawaran kepada pemaju-pemaju untuk mengusahakannya.

“Dan apabila kita dapati, pemaju-pemaju tidak dapat menyelesaikannya, Kerajaan Negeri terpaksalah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan projek itu dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri hanya menjadi pemudah cara bagi meyelesaikan masalah yang dihadapi projek PGBF ini memandangkan ia dijalankan di dalam Negeri Pahang.
“PGBF ni dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan pihak Felda kita tak nak lihat projek PGBF ini terbengkalai dalam Negeri Pahang. Jadi kita sebagai kerajaan bersama dengan LPHP cuba untuk mengatasi masalah dan menyelesaikan masalah rumah PGBF.
“Dan kalau boleh kita nak tengok dalam Negeri Pahang ini tak ada benda-benda yang berkaitan dengan rumah-rumah yang terbengkalai sebab dia memberikan imej yang tak benar.
“Sedangkan rumah itu bukan dilaksanakan oleh LPHP. Rumah tu dilaksanakan oleh pihak lain yang diluar daripada Kerajaan Negeri. Kita tak nak projek ini menjadi satu liabiliti kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang akan menawarkan tujuh projek berkenaan kepada pemaju lain bagi memastikan ia dapat diselesaikan.
“InsyaAllah bagaimana yang kita laksanakan hari ini projek PRR di Jaya Gading ini begitulah yang akan kita laksanakan di tempat-tempat lain.
“Kita tak boleh nak laksanakan secepat mungkin tertanggung pada kos, kewangan, manpower, procedure-procedure yang terpaksa menjadi halangan memperlahankan proses kita. Tapi walau bagaimanapun kita akan usaha untuk memastikan projek ini dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dan Cabutan Undi Lot Bagi Program Residensi Rakyat (PRR) Pulau Manis Daerah Kuantan di Dewan Orang Ramai Sri Damai.
Sebanyak 85 surat tawaran perumahan Program Residensi Rakyat (PRR) Pulau Manis dengan rumah bernilai RM45,000 diberikan kepada penerima hari ini. -PAHANGMEDIA

