Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 30 DISEMBER 2025 : Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Daerah Raub perlu memainkan peranan lebih aktif dalam penggunaan media sosial bagi menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif serta program Kerajaan Negeri Pahang kepada masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, dalam era digital masa kini, media sosial menjadi medium utama masyarakat mendapatkan maklumat, justeru peranan Setiausaha JPKK amat penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, masih terdapat JPKK yang kurang aktif di media sosial dan perkara itu perlu diberi perhatian serius agar penyampaian maklumat berkaitan dasar, inisiatif dan program kerajaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Dan dalam dunia yang mana media sosial itu menjadi keutamaan masyarakat, SU (setiausaha) JPKK ini perlu main peranan untuk menghebahkan segala inisiatif Kerajaan Negeri dan program-program yang dilaksanakan di peringkat kampung masing-masing supaya masyarakat boleh mengetahui berita inisiatif program yang dilaksanakan di peringkat kampung dan juga peringkat daerah dan negeri.
“Jadi saya amat berharap amanah ini dapat dipikul dengan baik kerana ada lagi JPKK yang tidak aktif media sosialnya. Saya harap perkara ini boleh ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Taklimat dan Penyerahan Elaun kepada Setiausaha JPKK Daerah Raub yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub, di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 48 Setiausaha JPKK dari seluruh daerah ini menerima elaun daripada Kerajaan Negeri Pahang sebagai tanda penghargaan atas jasa, sumbangan dan pengorbanan mereka dalam membantu mengurus hal ehwal kampung.

YB. Tuan Fadzli juga berkata, peranan Setiausaha JPKK amat besar khususnya dalam Kerajaan Negeri dalam menyelaras urusan pentadbiran kampung, termasuk penyaluran bantuan ketika berlakunya bencana atau isu melibatkan rakyat.
“Sesungguhnya sangat besar jasa dan pengorbanan Setiausaha-Setiausaha JPKK ini dalam membantu Kerajaan Negeri khususnya dalam segala hal berkait dengan kampung dalam penyaluran bantuan ketika pengurusan bencana atau apa saja isu-isu rakyat.
Jadi Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan mereka dan kita amat berharap Setiausaha-Setiausaha JPKK ini dapat terus memainkan peranan yang signifikan untuk membantu Kerajaan Negeri termasuk dalam soal menyalurkan informasi atau segala inisiatif berkait dengan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut menyifatkan hubungan dan kerjasama antara Setiausaha JPKK dan Kerajaan Negeri Pahang sebagai satu sinergi yang baik dan perlu terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat. -PAHANGMEDIA

