Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 30 DISEMBER 2025 : Penganjuran pertandingan landskap halaman cantik disifatkan sebagai satu pendekatan berkesan dalam mendidik masyarakat agar bukan sahaja menjaga kebersihan, malah menitikberatkan aspek keindahan persekitaran.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha berterusan melalui pertandingan seumpama itu berjaya memupuk minat dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan landskap sebagai elemen kesejahteraan hidup.
“Dan sebenarnya program ini sangat bagus khususnya pertandingan landskap ini di mana kita bukan sahaja mendidik masyarakat tapi kita menggalakkan masyarakat untuk bukan sahaja menjaga kebersihan dan persekitaran tetapi juga keindahan halaman rumah, sekolah, pejabat, institusi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Landskap Halaman Cantik dan Anugerah Ejen Jualan Kupon Terbaik Peringkat Daerah Raub Tahun 2025 di Dewan Jubli Majlis Daerah Raub (MDR), di sini hari ini.

Sebanyak 15 kategori dipertandingkan melibatkan 68 penyertaan dari seluruh daerah Raub termasuk kategori masjid yang menyaksikan Masjid Sultan Ahmad Shah Cheroh dinobatkan sebagai juara.
Katanya, hasil penganjuran pertandingan itu jelas dapat dilihat apabila landskap persekitaran di daerah Raub semakin indah dan terpelihara, sekali gus menerima pujian daripada orang ramai yang berkunjung ke daerah tersebut.
“Dan kita boleh tengok hasilnya sejak pertandingan ini dilaksanakan di mana memang ramai yang memuji landskap persekitaran di daerah Raub, bila masuk tengok bandarnya, tengok taman-tamannya, tasiknya yang serba indah.
“Dan daripada pembangunan ini yang penuh dengan keindahan dan kecantikan, aspek-aspek inilah dinilai juga… diambil kira sehingga Raub dipilih sebagai daerah kedua paling bahagia di Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong pertandingan seumpama itu dan berharap ianya dapat terus diperkasakan pada masa hadapan dengan memberi penekanan kepada aspek publisiti dan promosi termasuk penghasilan video bagi memaparkan keindahan landskap pemenang.
“Tadi saya bincang dengan Setiausaha MDR agar program ini diperkasa dan dinaik taraf pada tahun hadapan dan serentak dengan itu dari segi publisiti dan promosinya kita tingkatkan juga. Saya harap sangat kita ada selepas ini video misalnya pemenang-pemenang utama rumah mereka.
“Dia banyak kategori rumah, rumah kampung, rumah Felda, rumah banglo, berkembar, rumah teres tengah, intermediate dan macam-macam kategori lain sekolah. Keindahan, kecantikan landskap di tempat-tempat ini perlu dipertontonkan kepada anggota masyarakat. Jadi nilai tambah utama akan datang ini, kita nak tengoklah video itu,” katanya.
YB. Tuan Fadzli dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada ejen jualan kupon parkir yang menunjukkan prestasi cemerlang, sekali gus menyumbang kepada keberkesanan kutipan hasil MDR selain merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada MDR atas kejayaan menganjurkan program berkenaan. -PAHANGMEDIA

