Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 26 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah meminggirkan kebajikan dan pembangunan Orang Asli di negeri ini melalui pelbagai inisitif dan bantuan yang diberikan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Orang Asli diminta untuk menjaga perpaduan dan mengelakkan pecah belah diantara mereka.

“Saya beritahu kepada masyarakat Orang Asli tadi, kita kena jaga perpaduan sesama kita, jangan ada pihak yang cuba mengadu domba mengatakan bahawa kerajaan tidak membuat sesuatu, tidak menjaga kebajikan Orang Asli.
“Ini adalah tidak benar sama sekali. Mereka mempunyai hasrat dan niat supaya masyarakat Orang Asli menanam sentimen kebencian kepada kerajaan yang ada pada hari ini dan akhirnya yang rugi adalah kepada masyarakat Orang Asli bila kita berpecah belah.

“Lebih-lebih lagi masyarakat Orang Asli tidak ramai, di Pahang ni lebih kurang 100,000 je masyarakat Orang Asli lebih kurang. Tidak ramai, kalau kita berpecah belah, kita juga yang rugi. Dan kerajaan insyaAllah kita tidak akan pinggirkan masyarakat Orang Asli, dan ini boleh dilihat, bukan sahaja kita cakap. Senator daripada kalangan orang kita, Pengarah JAKOA daripada kalangan orang kita, di Cameron Highlands, ahli parlimennya daripada kalangan orang kita,” katanya.
Beliau berkata antara inisiatif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini termasuklah kediaman, dan komputer riba selain bekalan air bersih.

“Kita hari ini memberi bantuan komputer riba, kemudian kita bagi juga plak dan sijil Rumah Rakyat Pahang, dan juga dividen kepada masyarakat Orang Asli, dan juga kepada mereka yang berkahwin kali pertama.
“Dan saya juga hari ini melihat ada sumbangan Etiqa bagi projek pembekalan air bersih Orang Asli dan ini adalah usaha-usaha Kerajaan Negeri daripada dulu sampai sekarang yang tidak putus-putus untuk kita memberi bantuan kepada masyarakat Orang Asli.

“Rumah, sebagai contohnya, dulu kita letakkan 100 unit, sekarang telah dinaikkan kepada 120 unit kepada masyarakat Orang Asli. Dulu RM75,000, sekarang naik RM80,000. Dan yang paling menggembirakan saya adalah rata-rata mereka yang menerima dividen pada hari ini mendapat lebih kurang antara RM900 kepada RM1,000 berbanding daripada dulu sebelum ORACO mengambil alih dan ini satu perkembangan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang – Perkahwinan Kali Pertama Orang Asli, Dividen Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSKOA), serta Bantuan Rumah Rakyat Pahang (Kuota Orang Asli) di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, FELDA Sungai Koyan 1 hari ini. -PAHANGMEDIA

