Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 13 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang meluluskan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada tabung Palestin sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan rakyat negara itu yang terus berdepan konflik berpanjangan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan tersebut akan disalurkan dalam tempoh sebulan.
“Saya janji dalam masa sebulan insyaAllah RM50,000 sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang kepada tabung Palestin akan kita sampaikan melalui Saudari Finaz,” katanya ketika berucap dalam Majlis Malam Cinta Palestin Bersama-sama Tok Wan sempena Karnival Aspirasi Pahang 1st Tahun 2025 Peringkat Daerah Temerloh bertempat di Padang Awam Desa Baru Purun, di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsuddin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Tambahnya, isu Palestin bukan perkara baharu malah telah berlarutan sejak sekian lama dan keadaan di wilayah itu dilihat semakin buruk.
“Dulu pun macam itu, sekarang pun macam itu (situasi). Dalam pemikiran saya, saya sangat berharap supaya ianya tidak berlaku di negara kita ataupun di Pahang khususnya.
“Isu Palestin ini, seingat saya celik-celik mata, kita dah tahu dah pasal isu Palestin. Sampailah sekarang. Tak selesai-selesai dan keadaan menjadi bertambah buruk,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha membantu rakyat Palestin antaranya melalui kutipan derma dan penghantaran barangan ke Gaza, meskipun berdepan kekangan sekatan yang ketat.
Dalam perkembangan lain, sebanyak RM8,117,890.50 hasil cukai tanah telah berjaya dikutip setakat semalam sempena Karnival Aspirasi Pahang 1st Tahun 2025 Daerah Temerloh yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, penganjuran program secara serentak merangkumi Karnival Aspirasi Pahang 1st, Karnival Tanah Pahang dan Karnival Usahawan Makmur dilihat berkesan dalam memudahkan urusan rakyat serta meningkatkan kutipan hasil negeri.
“Sebab apa kita buat dan kita akan teruskan untuk tahun-tahun mendatang, sebab kita merasakan, kerajaan merasakan bahawa orang Melayu ini, orang Malaysia ini, orang Negeri Pahang ini, ada masanya suka ramai-ramai begini.

“Bila kita buat karnival tanah, kita tengok ramai yang suka bayar cukai. Dia tak nak pergi ke pejabat tanah sendiri-sendiri. Ada juga lah yang pergi.
“Tetapi bila kita buat karnival tanah, masa itu kita dapat kutipan yang banyak daripada masyarakat setempat. Dan yang lebih penting kita dapat bersama,” ujarnya.
Beliau dalam ucapannya turut memaklumkan bahawa MAHA Pahang akan dianjurkan setiap tahun bermula tahun ini berikutan sambutan menggalakkan daripada rakyat.
“Kerajaan Negeri Pahang dalam bajet baru ini, saya dah pesankan bahawa MAHA Pahang akan dibuat setiap tahun untuk rakyat Negeri Pahang. Jadi ini adalah memberi kemudahan kepada rakyat Negeri Pahang,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

