Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Belanjawan Negeri Pahang 2026 bukan untuk dijadikan pentas membuat gimik, tetapi merupakan pelan induk dalam membina negeri pada tahun mendatang.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sebagai satu langkah menetapkan hala tuju negeri dan masa depan anak-anak Pahang.
“Selama lima hari ini kita bukan sekadar membahaskan angka. Kita sedang menetapkan hala tuju negeri dan masa depan anak-anak Pahang.
“Tanggungjawab ini tidak boleh dipikul sambil bermain bayang-bayang atau mengejar tepukan politik. Belanjawan bukan pentas membuat gimik, tetapi pelan induk membina negeri untuk tahun mendatang.
“Di bawah tema Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan, Kerajaan Negeri memilih untuk bergerak dengan keyakinan, bukan ragu-ragu. Kita memilih untuk memimpin, bukan mengikut. Kita memilih untuk bekerja dan bukan berpolitik 24 jam,” katanya.
Beliau berkata perbezaan pendapat merupakan perkara yang lumrah tetapi cara ia dibentangkan membezakan tahap kematangan pihak terlibat.
“Perbezaan pendapat itu lumrah, namun yang membezakan kematangan adalah cara ia dibentangkan. Ada yang memberi teguran dengan fakta, ada juga yang lebih gemar menabur keresahan tanpa menyemak kebenaran.
“Seperti kata orang tua-tua, jika tidak tahu arah angin, jangan diajar nakhoda mengemudi kapal. Begitulah juga dalam soal kewangan, tidak wajar dinilai oleh sesiapa yang tidak memahami layar dan kompasnya,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah lari dari tanggungjawab dan amanah rakyat dalam menjadikan Pahang negeri yang jauh lebih baik daripada sedia ada.
“Kita tidak pernah lari daripada tanggungjawab. Kita tidak pernah undur daripada amanah rakyat. Dan kita tidak pernah berganjak daripada komitmen untuk menjadikan Pahang negeri yang jauh lebih baik daripada apa yang kita warisi,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat di negeri ini untuk bersatu dan teguh berdiri bersama Kerajaan Negeri Pahang bagi mempertahankan kestabilan yang telah dicapai kini.
“Saya ingin menyeru seluruh rakyat Pahang agar berdiri teguh bersama kerajaan ini. Pertahankan kestabilan. Pertahankan kemajuan. Pertahankan keyakinan, bahawa Pahang sedang berada di landasan yang betul. Landasan yang membawa manfaat kepada seluruh rakyat tanpa ada sesiapa pun yang tertinggal.
“Selagi kita bersatu, selagi kita bekerja dengan penuh iltizam, selagi rakyat memberi kepercayaan kepada kerajaan ini, insya-Allah, Pahang akan terus mara, terus maju dan terus makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

