Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang telah menyumbangkan sebanyak 108 unit kerusi kepada Jabatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi kemudahan dan keselesaan pengunjung yang mendapatkan perkhidmatan di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, meskipun perkara ini merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri tetap segera bersetuju untuk memberi sumbangan.
“Dari segi bertanggungjawab itu memang dari Kerajaan Persekutuan tetapi kita faham kadang-kadang untuk mendapatkan peruntukan (perlukan) jangka masa yang panjang.
“Jadi dari pihak Kerajaan Negeri, Alhamdulillah bila saya bangkitkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan hari rabu minggu lepas, pihak Kerajaan Pahang dah bersetuju untuk membantu dengan segera.

“Jadi diharapkan sumbangan yang diberikan dapat beri keselesaan kepada semua pengunjung yang dapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Menunggu oleh Kerajaan Negeri Pahang di Jabatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan 100 unit kerusi plastik sementara bagi memastikan keselesaan pengunjung sementara menunggu kerusi yang telah dipesan.
“Sebelum kerusi baharu ini sampai, kita bagi dulu kerusi plastik untuk sementara sebanyak 100 unit. Kita memerlukan juga kerjasama masyarakat supaya sama-sama menjaga. Ini juga harta rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

