Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah menukar paip usang sepanjang 259.7 kilometer (km) di seluruh negeri ini setakat tahun ini bagi menurunkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW).
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sebanyak RM449.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan dan perancangan berkaitan NRW.
“…berkenaan isu Non-Revenue Water(NRW) atau Air Tidak Terhasil, termasuk paip pecah, paip usang dan kehilangan air secara fizikal. Kerajaan Negeri melalui PAIP sentiasa berusaha menurunkan kadar NRW ke tahap yang lebih baik dan berdaya saing.
“Untuk tahun hadapan, program akan lebih agresif melalui penukaran paip-paip lama, pembinaan dan baik pulih District Metering Area (DMA) serta Pressure Management Area (PMA) yang membantu mengesan kebocoran secara lebih efisien.
“Segala pelaksanaan dan perancangan akan datang ini melibatkan peruntukkan sebanyak RM449.5 juta, melalui peruntukkan dalaman PAIP, pembiayaan sewa pajakan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) serta termasuk penerimaan Geran Program NRW Kebangsaan daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang berjumlah RM313 juta,” katanya.
Menurut beliau, fokus utama Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini adalah memastikan rakyat menerima bekalan air terlebih dahulu sebelum bergerak ke fasa lebih proaktif untuk mengurangkan NRW.
“Maka PAIP menyelesaikan permasalahan di peringkat sumber, menstabilkan kapasiti agihan serta memastikan tekanan air mencukupi di seluruh kawasan.
“Kini, walaupun isu blackspot terus ditangani dan semakin stabil, PAIP telah bergerak ke fasa lebih proaktif untuk mengurangkan NRW. Program ini kompleks dan memerlukan peruntukan sangat besar, namun kita tetap melaksanakannya secara berfasa agar kewangan PAIP kekal seimbang antara operasi harian, persediaan bekalan masa hadapan dan keberkesanan program pengurangan NRW,” katanya.
Tambah beliau, punca utama berlakunya paip pecah dan kehilangan air fizikal adalah disebabkan 23 peratus daripada jajaran paip sepanjang 15,423 kilometer adalah paip yang telah usang.
“Pahang mempunyai jajaran paip sepanjang 15,423 kilometer dan 23 peratus daripadanya adalah paip Asbestos Cement (AC) yang sudah usang. Ini punca utama berlakunya paip pecah dan kehilangan air fizikal yang menyumbang kepada angka NRW yang tinggi.
“Kalau boleh, memang kita hendak tukar semuanya sekali gus. Tetapi kosnya sekitar RM3 bilion. Maka kita tetap laksanakan juga, namun secara berfasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

