Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri menegaskan bahawa kedudukan kewangan negeri berada pada landasan kukuh apabila berbelanja mengikut kemampuan serta tidak melakukan perbelanjaan secara berlebihan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia sekali gus menolak dakwaan bahawa negeri itu sedang menghadapi situasi kewangan membimbangkan.
“Saya memulakan penggulungan dengan menjawab persoalan daripada Yang Berhormat Cheka dan Yang Berhormat Jengka mengenai kedudukan prestasi kewangan negeri Pahang yang didakwa berada dalam keadaan yang membimbangkan.
“Untuk makluman Yang Berhormat Cheka dan Yang Berhormat Jengka, prestasi kewangan sesebuah negeri bukan sahaja diukur oleh berapa besar jumlah hasil yang dikutip, tetapi bergantung kepada sejauh mana Kerajaan Negeri menguruskan setiap ringgit dengan cekap, berdisiplin dan penuh tanggungjawab,” katanya semasa sesi penggulungan Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Katanya, Kerajaan Negeri telah membuktikan bahawa negeri ini berada pada landasan fiskal yang kukuh di mana Belanjawan 2024 bukan bajet defisit seperti yang sering disalahertikan, sebaliknya merupakan bajet yang bertanggungjawab dan mampu berdiri atas kekuatan sendiri.
Beliau turut menjelaskan bahawa bagi tahun kewangan 2024, Kerajaan Negeri mencatat Lebihan Bajet Mengurus Sebenar sebanyak RM12.7 juta, hasil daripada pengurusan perbelanjaan yang teliti.
“Meskipun kutipan hasil mencatat sedikit penyusutan berbanding tahun sebelumnya, Kerajaan Negeri segera mengambil langkah dengan mengurangkan Belanja Mengurus daripada RM1.232 bilion pada 2023 kepada RM1.208 bilion pada 2024.
“Dengan Hasil Sebenar sebanyak RM1.221 bilion, jelas bahawa Negeri Pahang berbelanja mengikut kemampuan dan tidak berlebihan, malah berjaya mencapai kutipan 107.3 peratus daripada anggaran asal. Ini membuktikan bahawa pengurusan kewangan negeri kekal cermat serta tidak berlaku pembaziran dalam operasi harian kerajaan,” katanya lagi.
Tambahnya, kekeliruan timbul apabila terdapat pihak mencampuradukkan keseluruhan jumlah perbelanjaan negeri berjumlah RM1.349 bilion dengan menggabungkan belanja mengurus dan belanja pembangunan, lalu membuat kesimpulan bahawa Pahang mengalami defisit.
“Hakikatnya, jumlah tersebut merangkumi belanja mengurus dan belanja pembangunan sedangkan sebahagian komponen perbelanjaan pembangunan ditampung oleh sumber kewangan lain, termasuk terimaan pinjaman boleh bayar berjumlah RM128 juta yang mana terimaan pinjaman tidak direkodkan sebagai hasil negeri,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

