Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Sebanyak 603 buah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang dimohon penubuhan oleh Kerajaan Negeri Pahang telah mendapat kelulusan untuk diwujudkan di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, permohonan tersebut telah diluluskan hasil daripada kombinasi antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Bahagian Khidmat Pengurusan.
“Setakat ini Kerajaan Negeri berjaya memohon sebanyak 603 buah JPKK untuk diwujudkan di Negeri Pahang dan telah mendapatkan kelulusan hasil daripada kombinasi diantara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Bahagian Khidmat Pengurusan.
“Kita telah berjaya melantik ketua kampung dan mereka telah disalurkan sumber kuasa dengan kombinasi elaun oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM500 dan ditambah oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM500,” katanya.
Tambahnya, empat agensi menjadikan teras utama dalam memastikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dapat diwujudkan di Negeri ini.
“Pertama, di Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang di Bahagian Khidmat Pengurusan bertanggungjawab untuk mewujudkan struktur JPKK. Agensi kedua iaitu perancang ekonomi dengan tujuan untuk memberi maklumat bagaimana pemerkasaan kemudahan asas di kampung serta pembangunan infrastruktur dan pembangunan ekonomi yang diperlukan oleh kampung berkenaan.
“Agensi ketiga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk membawa kepada pihak Kementerian bagi mendapatkan kelulusan mewujudkan JPKK yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri.
“Setelah itu kita ada, agensi Kerajaan Persekutuan yang kedua iaitu Pembangungan Luar Bandar. Agensi ini juga sangat rapat dengan JPKK yang dihubungkan oleh Pejabat Tanah Daerah bagi melaksanakan program-program seperti Sejati Madani, Kampung Angkat Madani dan lain-lain.
“Akhir sekali, Pejabat Daerah di setiap Negeri Pahang, mereka sentiasa akan dipanggil oleh Pegawai Daerah ataupun Penolong Pegawai Daerah bagi memberikan maklumat untuk disalurkan kepada Pengerusi JPKK agar dibawa kepada kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB Tuan Haris Salleh Hamzah pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

