Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang komited untuk membangunkan Industri Perkhidmatan Perniagaan Global Business Services (GBS) pertama di negeri ini sebagai usaha untuk menarik belia Pahang yang berada di luar Pahang kembali berkhidmat di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, pembangunan GBS di Pahang dijangka membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak di Pahang.
“Kerajaan Negeri sedar bahawa dengan insentif, infrastruktur, bakat dan persekitaran perniagaan yang kondusif, GBS boleh dibangunkan di Negeri Pahang sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada graduan dan belia tempatan serta menarik anak Pahang yang berada di luar Pahang untuk kembali berkhidmat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata beberapa strategi dan langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi memastikan operasi GBS dapat diwujudkan di negeri ini.
“Invest Pahang sebagai Single Window Pelaburan atau pintu masuk utama bagi pelabur yang berperanan membantu syarikat dalam urusan pelaburan dalam konteks Ease of Doing Business; Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula (Startups) 2030; Pembangunan Bakat berteraskan teknologi dan kemahiran melalui kerjasama universiti dan institusi TVET.
“Promosi dan outreach pelaburan melalui penyertaan pameran peringkat kebangsaan dan global; dan Kerajaan Negeri sedang mengkaji dan melihat sama ada syarikat swasta yang beroperasi di Pahang atau Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) berminat untuk mewujudkan operasi GBS bagi menyokong perkhidmatan yang mereka tawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB Dato’ Rodzuan Zaaba pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

