Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Pahang menerajui pengeluaran sayur di negara ini dengan nilai jualan mencecah RM3.60 bilion dan susu segar dengan pengeluaran 9.0 juta liter.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, ini membuktikan ekonomi Pahang adalah berorientasikan pertanian.
“Kelebihan Pahang bukan hanya pada komoditi sawit, tetapi juga pada pengeluaran makanan bernilai tinggi.
“Daerah Cameron Highlands menerajui pengeluaran sayur Malaysia dengan nilai jualan mencecah RM3.60 bilion. Ini menjadikan Pahang bakul makanan utama untuk sayur-sayuran tanah tinggi bagi pasaran domestik dan eksport.
“Pahang merupakan pengeluar susu segar tertinggi di Malaysia dengan jumlah pengeluaran 9.0 juta liter. Daerah Rompin adalah penyumbang utama sebanyak 8.1 juta liter, diikuti oleh Bentong,” katanya
Beliau berkata sektor pertanian Negeri Pahang juga menyumbang peratusan tertinggi sebanyak 22.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Pahang pada 2024.
“Pahang kini disahkan sebagai penyumbang kedua terbesar nilai jualan pertanian di Malaysia selepas Johor, dengan rekod jualan mencecah RM25.12 bilion pada tahun 2023.
“Subsektor tanaman sahaja menyumbang RM22.11 bilion iaitu 88 peratus daripada nilai jualan tersebut, dipacu oleh kelapa sawit dan sayur-sayuran,” katanya.
Menurut beliau, Pahang kini disokong oleh sistem data yang lebih cekap melalui TaniStats dan MyAgroPrice yang dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Ini membolehkan pemantauan harga ladang, borong, dan runcit dibuat secara masa nyata, membantu petani dan pelabur di Pahang membuat keputusan perniagaan yang lebih tepat.
“Kesimpulannya Pahang bukan sekadar bercadang, tetapi sudah berfungsi sebagai hab agromakanan utama. Kelebihannya kini lebih spesifik iaitu Cameron Highlands (sayur), Rompin (susu), Temerloh (ikan Patin), dan Kuantan (benih ikan dan marin), semuanya disokong oleh infrastruktur ECRL yang bakal siap untuk memacu logistik ke pasaran luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB Tuan Chan Chun Kuang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

