Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang akan menaik taraf bangunan tabika dan taska di seluruh negeri ini pada tahun hadapan dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.5 juta.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, perancangan ini akan diberikan keutamaan kepada bangunan tabika dan taska yang daif serta uzur.
“Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Pahang sangat mengambil maklum berkaitan dengan keadaan bangunan tabika dan taska yang sudah berusia lagi uzur demi menjaga keselamatan di samping memberi keselesaan kepada kanak-kanak tabika dan taska.
“Jumlah bangunan tabika KEMAS di seluruh Negeri Pahang bukanlah sedikit, sebanyak 660 buah manakala taska terdapat 34 buah.
“Cadangan bagi menaik taraf bangunan tabika dan taska seluruh Negeri Pahang Darul Makmur telah pun dimasukkan dalam perancangan bagi tahun 2026 dengan peruntukan yang dipohon sebanyak RM1,500,000,” katanya.
Beliau berkata KEMAS Negeri Pahang telah menerima peruntukan sebanyak RM7.38 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tahun 2024 dan 2025.
“Pada tahun 2024 ini KEMAS Negeri Pahang telah menerima peruntukan sebanyak RM2,311,950 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan disusuli pada tahun 2025 sebanyak RM5,076,775 dalam usaha untuk membaik pulih dan menyelenggara bangunan-bangunan tadika di Negeri Pahang,” katanya.
Mengulas mengenai usaha memartabatkan undang-undang Islam oleh Kerajaan Negeri Pahang, beliau berkata setakat ini Pahang telah mempunyai 16 Rang Undang-undang (RUU) yang menjadi enakmen di Mahkamah Syariah.
“Kita bukan sahaja ada 14 RUU yang telah kita bentang menjadi enakmen di Mahkamah Syariah bahkan sekarang ini kita telah mencecah kepada 16 enakmen.
“Yang pertamanya jenayah syariah, pentadbiran Islam, perpindahan agama, penyebaran agama, selain wakaf tabung masjid, tabung amanah pentadbiran, pendidikan Islam dan kuasa kepada Mahkamah Rayuan.
“Ini semua telah kita bentangkan bukan dengan cara semberono, tetapi telah diwujudkan, dizahirkan kertas-kertas yang diteliti oleh pakar di dalam syariah yang dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

