Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini turut melibatkan pembinaan 19 Terowong Laluan Khas Haiwan Liar (WBC).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, lapan daripada terowong berkenaan dibina khusus bagi laluan gajah.
“Terdapat keseluruhan 28 Wildlife Box Culvert (WBC) di dalam projek ECRL ini. 19 daripadanya terdapat di Negeri Pahang dan lapan daripada 19 Wildlife Box Culvert (WBC) khusus untuk gajah yang terdapat di Hutan Simpan Kemasul, Temerloh,” katanya.
Menurut beliau, kemajuan kerja pembinaan Projek ECRL di negeri ini sehingga 30 November lepas telah mencapai 91.49 peratus dan menepati jadual pelaksanaannya.
“Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan beberapa buah daerah di Negeri Pahang iaitu Daerah Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong dan ianya juga sedang rancak dilaksanakan.
“Majlis Penembusan Terowong Genting bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah berlangsung pada 12 Julai 2025 di mana terowong ECRL Genting yang merentasi Banjaran Titiwangsa adalah merupakan terowong terakhir yang ditembusi.
“Dengan panjang 16.39 kilometer, Terowong ECRL Genting merupakan terowong terpanjang bagi Projek ECRL dan bakal menjadi terowong berkembar terpanjang di Asia Tenggara. Dengan penembusan Terowong ECRL Genting ini juga maka laluan ECRL dengan rasminya telah bersambung sepenuhnya dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang turut bercadang membangunkan prasarana di sekitar 15 kilometer radius dalam tujuh stesen ECRL di negeri ini yang akan menjadi nadi penggerak ekonomi setempat serta dapat memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

