Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang memperuntukkan subsidi berjumlah RM2.7 bilion sebagai usaha memastikan rakyat menikmati kediaman mampu milik, sekali gus mengurangkan beban kos perumahan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata subsidi itu merupakan sebahagian daripada nilai keseluruhan pembangunan perumahan yang mencecah RM4.8 bilion.
Katanya, subsidi tersebut diberikan terus melalui penetapan harga rumah melibatkan skim-skim utama seperti PR1MA Pahang, Rumah Makmur dan Program Residensi Rakyat (PRR).
“Sebagai contohnya, PR1MA Pahang harga sebenar RM400,000 tapi kita berikan dengan subsidi RM250,000 (seunit), jadi harga yang dijual RM150,000 sahaja. Rumah Makmur harga sebenar RM220,000 dengan subsidi RM140,000, dijual pada harga RM80,000 sahaja dan PRR harga sebenar RM300,000 dengan subsidi RM255,000, dijual dengan harga RM45,000 sahaja.
“Antara lain lagi, premium tanah untuk membina rumah PR1MA Pahang ini dikenakan RM12,000 bagi satu lot tetapi Kerajaan Negeri bagi subsidi RM10,000 dan bayaran premium hanya dikenakan RM2,000 sahaja untuk satu lot rumah PR1MA Pahang tersebut. Ada juga yang minta kurang lagi RM2,000, tinggal RM1,000 sahaja.
“Inilah Kerajaan Negeri yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan skim perumahan dan inilah satu usaha kerajaan di bawah pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang untuk membantu melaksanakan pembangunan ini dengan jayanya,” katanya semasa sesi penggulungan Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa bagi tahun 2025 sahaja, kerajaan berjaya menyiapkan sebanyak 1,876 unit rumah melibatkan nilai pembangunan RM217 juta.
“Sehingga kini, LPHP telah menyiapkan 28,771 unit rumah di seluruh Negeri Pahang melibatkan nilaian pembangunan RM2.1 bilion,” ujarnya.
Mengulas mengenai peruntukan baharu tahun hadapan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang atas kelulusan beberapa inisiatif penting di bawah portfolio beliau.
Antaranya termasuk pemberian lesen percuma kepada penjaja B40 bernilai RM3 juta, pembinaan Rumah Rakyat Pahang Fasa 6 bernilai RM28.7 juta, pembinaan Rumah Rakyat Pahang Kuota Orang Asli Fasa 7 bernilai RM10.29 juta serta RM15 juta bagi pelaksanaan Projek Skim Tanah Warisan Fasa 3.
Tegasnya, Kerajaan Negeri akan terus memastikan Pahang berada pada landasan yang mampu berdaya saing dan setanding dengan negeri-negeri maju lain. -PAHANGMEDIA

