Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Seramai 3,956 orang penerima telah menerima manfaat daripada Program Khidmat Bantu Di Rumah melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.8 juta.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, program ini bagi memastikan golongan warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU) yang tinggal bersendirian terus disantuni.
“Program Khidmat Bantu Di Rumah diteruskan dengan peruntukan RM1.9 juta, yang memberi manfaat kepada 4,616 penerima, bagi memastikan golongan warga emas serta OKU yang tinggal bersendirian terus disantuni dan menerima sokongan sosial yang diperlukan di samping dapat mengurangkan bilangan kemasukan warga emas dan OKU ke Institusi Kebajikan.
“Program ini dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) dan Gabungan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (GPSK).
“Berdasarkan peruntukan yang diterima sebanyak 95.6 peratus telah berjaya dibelanjakan dengan nilai RM1,817,000 dan seramai 3,956 orang penerima telah menerima manfaat daripada program ini,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memperkukuh kebajikan rakyat melalui program bersasar khususnya kepada warga emas dan OKU di negeri ini bagi memastikan kesejahteraan mereka terpelihara.
“Bagi mengiktiraf Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) sebagai rakan strategik jabatan, pemberian one-off kepada PPDK diteruskan dengan bantuan berjumlah RM595,000.
“Ianya telah memberi penghargaan dan motivasi kepada 1,925 penyelia, petugas dan pelatih PPDK, sekali gus mengukuhkan peranan PPDK dalam pembangunan dan pemulihan OKU.
“Pemberian tunai sebanyak RM200 kepada pelatih turut mendorong komitmen serta penglibatan aktif mereka untuk latihan secara berterusan dalam program PPDK. Peruntukan tersebut merangkumi RM170,000 kepada 293 penyelia dan petugas, dan RM425,000 kepada 1,632 pelatih. Pelaksanaan program ini telah berjaya dicapai sebanyak 100 peratus berdasarkan peruntukan yang diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

