Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Seramai 41,834 peneroka di negeri ini telah menerima geran hak milik oleh Kerajaan Negeri Pahang sehingga kini dan bakinya akan menerima selewatnya sebelum pertengahan tahun depan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, baki tiga peratus atau 1,292 peneroka daripada keseluruhan 43,126 peneroka dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum pertengahan 2026.
“Sehingga kini seramai 41,834 peneroka FELDA Pahang telah menerima geran hak milik, manakala baki 1,292 peneroka ataupun tiga peratus daripada kesulurahan 43,126 peneroka dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya menjelang penghujung tahun 2025 ini ataupun sebelum pertengahan 2026 tertakluk kepada penyelesaian isu-isu terpencil.
Tambahnya, seramai 1,095 peneroka di Gugusan Lepar Utara dan Gugusan Selancar akan menerima geran hakmilik pada 16 Disember ini.
“InsyaAllah pada 16 Disember 2025 dijadualkan Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Peneroka Gugusan Lepar Utara melibatkan seramai 670 orang peneroka dan seterusnya akan mengadakan Majlis Penyampaian di Gugusan Selancar seramai 425 peneroka.
“Ini menjadikan berbaki hanya 195 peneroka bersamaan dengan kurang satu peratus sahaja yang belum menerima geran. Kita nak ucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) kerana telah memberikan tindakan yang sangat agresif untuk memastikan hak-hak peneroka ini terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

