Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kira-kira 82 peratus kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan air di negeri ini telah berjaya diselesaikan sehingga November lalu.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri Pahang komited dalam memastikan 90 peratus masalah air di negeri ini berjaya diselesaikan menjelang akhir tahun hadapan.
“Saya dimaklumkan oleh pihak PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad) sehingga November tahun ini sebanyak 82 peratus isu ‘blackspot’ berkenaan air telah diselesaikan di Negeri Pahang.
“Ini adalah komitmen kita, janji kita untuk memastikan 90 peratus masalah air di Pahang akan dapat kita selesaikan menjelang akhir tahun depan,” katanya.
Beliau berkata setakat ini tiga daerah dicatatkan melebihi 90 peratus penyelesaian masalah bekalan air iaitu di Bentong, Kuantan, dan Raub.
“Kalau mengikut daerah yang saya katakan sebelum ini, Bentong telah kita selesaikan melebihi 90 peratus, dan begitu juga di Kuantan telah pun lebih daripada 90 peratus. Seterusnya Raub dah lebih 90 peratus.
“Maknanya tiga daerah dah dapat lebih daripada 90 peratus. Dan yang menghampiri untuk kita selesaikan 90 peratus ialah Jerantut lagi satu persen nak dapat 90 peratus. Daerah yang paling terkebelakang ialah Lipis 60 peratus lebih.
“Semuanya berjalan dengan baik dan saya sangat optimis dan yakin insyaAllah tidak ada apa-apa perkara, kita akan mendapat sasaran kita bekalan air tahun ni 90 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB. Tuan Ho Chi Yang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menjawab persoalan berkenaan persediaan bekalan air bersih ketika menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), beliau berkata pihak PAIP akan bekerjasama dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) berkenaan perkara ini.
“Kita ada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan pusat ini akan sentiasa siap siaga dan sekiranya ada masalah bekalan air bersih, pihak PAIP akan bekerjasama dengan PKOB untuk menyalurkan bekalan air.
“Kita akan gunakan pam pontoon ini yang macam rakit di Loji Rawatan Air di mana pam ini akan kekal beroperasi walaupun muka sauk tu tenggelam. Ia akan tetap timbul dan ini boleh membantu kita menyalurkan bekalan air.
“Usaha-usaha lain adalah untuk memastikan bekalan bahan kimia mencukupi, pelantikan kontraktor yang sedia ada yang memang kita standby sekiranya berlaku kerja-kerja kecemasan, dan juga kita akan melaksanakan penjadualan operasi semasa Monsun Timur Laut,” katanya.
Namun demikian, beliau berkata bekalan air bersih akan mengalami sedikit gangguan apabila terdapat kejadian luar jangka seperti tanah runtuh atau pokok tumbang di kawasan berkenaan.
“Andainya ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku, bekalan air bersih ini akan terjejas. Sebagai contohnya tiba-tiba ada berlaku tanah runtuh, terjejas seketikalah mungkin beberapa jam. Atau pun pokok tumbang, ini mungkin akan jejaskan bekalan air yang luar jangka,” katanya. -PAHANGMEDIA

