Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang telah mengenal pasti dua lokasi strategik iaitu di Gebeng dan Gambang yang bersedia untuk menerima pelaburan pusat data.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, dua lokasi ini mempunyai infrastruktur asas yang diperlukan bagi pengoperasian pusat data.
“Kita sudah kenal pasti dua kawasan yang dianggap sebagai Data Center Ready (Pusat Data) yang bersedia untuk menerima pelaburan pusat data iaitu di Gebeng dan Gambang.
“Kedua-dua kawasan ini telah dikenalpasti sebagai kawasan yang mempunyai bekalan air yang cukup, bekalan elekrik yang cukup dan laluan gentian fibre optik yang memadai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB Tuan Rizal Jamin pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Tambahnya, beliau menjelaskan Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau pembangunan pusat data bagi memastikan ia selaras dengan keupayaan infrastruktur sedia ada.
“Pembangunan Pusat Data Negeri Pahang ini, kita akan pantau supaya pembangunannya seiring dengan keupayaan infrastruktur untuk menyokong pembangunan tersebut.
“Oleh itu, kita akan pantau sebaik-baiknya. Kita tidak jangka kita akan mengeluarkan begitu banyak Data Center mungkin hanya beberapa taman. Sekiranya ada keperluan kita akan lihat semula kekuatan infrastruktur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan dengan kerjasama rapat antara Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) dan agensi Persekutuan, usaha mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelaburan digital strategik di Pantai Timur dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
“Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) serta Agensi Persekutuan seperi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelaburan digital yang strategik di Pantai Timur.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri sedang berada dalam proses semakan semula Pelan Digital Pahang 2026-2030 bagi memperkukuhkan ekosistem negeri serta menarik pelaburan berasakan teknologi masa hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA

