Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 DISEMBER 2025 : Sebanyak 900 usahawan wanita di seluruh Negeri Pahang telah terlibat dan menerima manfaat daripada pelaksanaan Program Anggun Maju.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, program ini merupakan inisiatif kerajaan bagi memperkasa ekonomi wanita melalui latihan, sokongan teknikal dan bantuan perniagaan.
“Kerajaan melaksanakan tiga komponen utama di bawah program ini iaitu Tekno Suri, yang memberi latihan teknikal dan teknologi seperti penggunaan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi), fotografi produk, serta sistem jualan digital bagi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.
“Kedua, WAN.DA atau Wanita Anggun Digital yang menawarkan latihan pemasaran digital, penghasilan kandungan, penjenamaan, keselamatan digital serta bimbingan e-dagang bagi membantu usahawan bersaing dalam pasaran atas talian.
“Seterusnya, Bantuan Peralatan Perniagaan di mana Kerajaan turut menyediakan pemberian peralatan dan barangan perniagaan mengikut keperluan peserta seperti mesin jahit, peralatan bakery, peralatan memasak dan peralatan digital asas bagi mengurangkan beban modal permulaan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memperkukuhkan kedudukan ekonomi wanita serta memastikan usahawan Anggun Maju mampu berkembang secara mampan dan berdaya saing melalui pelaksanaan komponen ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

