Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang merupakan negeri terakhir yang mengenakan caj pemajuan kepada pemaju tanah di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, namun demikian Kerajaan Pahang memberi pengecualian kepada pemaju di bawah Skim Rumah Pahangku.
“Seluruh negara buat cas pemajuan termasuklah negeri di Pantai Barat, Kelantan, Terengganu, dan Kedah, dan kita (Pahang) yang paling akhir sekali.
“Patutnya kita dah laksanakan pada 2024 tetapi kita fikirkan masalah rakyat jadi kita mula lewat. Tapi ada yang tak faham duit itu pergi kepada PBT, bukan masuk ke Kerajaan Negeri seratus peratus.
“Antara insentif yang Kerajaan Negeri bagi adalah mengecualikan pemaju di bawah Skim Rumah Pahangku bagi memastikan tiada kenaikan ataupun cas extra dikenakan kepada pemaju projek kerajaan,” katanya.
Beliau berkata cas pemajuan yang dikenakan disalurkan bagi perkhidmatan penyelenggaraan yang lebih baik di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kita laksanakan apa yang disuruh oleh Kerajaan walau bagaimana pun kita mempunyai pertimbangan khas kerana setelah kita meneliti, memperhalusi, akhirnya kita bersetuju laksanakan cas pemajuan ini dan tidak membebankan.
“Kalau kita nak kenakan (caj), kepada Kerajaan Negeri Pahang dululah (dikenakan), bagi bertambah hasil pendapatan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Mohd Johari Hussain dan ADUN Ketari, YB. Tuan Su Keong Siong pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

