Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah membuat permohonan perolehan secara darurat dan peruntukan kecemasan bagi menyediakan sebuah klinik modular sementara bagi menggantikan Klinik Kesihatan (KK) Kuala Tahan, Jerantut.
Ketika ini, Dewan Penghulu Reja, bersebelahan PASDEC, Kampung Padang, Kuala Tahan telah dijadikan bangunan sementara KK Kuala Tahan bermula 24 September lalu berikutan kerosakan bangunan terbabit yang tidak selamat untuk digunakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, permohonan klinik modular adalah berikutan penggunaan dewan terbabit yang dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan kepada kakitangan dan pelanggan sementara menanti penggantian bangunan baharu yang dijangka mengambil masa sekitar empat tahun.
Katanya, sebuah Klinik Kesihatan Jenis 5 baharu akan dibina di tapak seluas 2.02 hektar yang telah diwartakan Kerajaan Negeri di mana projek tersebut telah disenarai pendek dan diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Ke-4.
“Pihak JKNP mengambil maklum isu keselesaan anggota bertugas dan pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan di dewan tersebut dan saya sendiri telah melawat di lokasi pada 26 November lalu.
“Sebenarnya pihak JKNP telah membuat permohonan perolehan secara darurat dan peruntukan kecemasan bagi menyediakan sebuah klinik modular sementara pembinaan KK yang lebih kondusif ini dan telah diangkat ke KKM pada 22 Oktober 2025 untuk tindakan selanjutnya.
“Sekiranya diluluskan, pembinaan klinik modular ini akan mengambil masa lebih kurang 16 minggu untuk disiapkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB. Tuan Mohd Zakhwan Ahmad Badardin dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, KK Kuala Tahan, yang terletak di Mukim Tembeling Tengah telah 48 tahun beroperasi bermula 1 Jun 1977 dan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada 6,000 orang penduduk setempat dengan kedatangan harian pesakit adalah sekitar 50 hingga 60 orang dengan kekuatan petugas seramai 24 orang. -PAHANGMEDIA

