Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri akan menganjurkan liga bola sepak diperingkat daerah dan negeri bermula tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, penganjuran liga berkenaan adalah sebagai usaha untuk menyemarakkan kembali sukan bola sepak di negeri ini.
“Dalam Belanjawan ini, insyaAllah, YAB Menteri Besar telah meluluskan peruntukan kalau tidak silap RM2 juta untuk menyemarakkan sukan bola sepak di negeri Pahang ini. Jadi akan ada liga di setiap daerah dan juga negeri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB. Tuan Mohd Zakhwan Ahmad Badardin dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menjawab soalan yang dikemukakan ADUN Kemayan, YB. Khaizulnizam Mohamad Zuldin, YB. Tuan Fadzli berkata, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) telah berusaha sehabis baik bagi melaksanakan program sukan yang menyeluruh dan berterusan peringkat akar umbi demi melahirkan lebih ramai atlet berbakat serta bertaraf antarabangsa.
Katanya, melalui Unit Pelapis Bakat Majlis Sukan Pahang, pelbagai pelaksanaan program pencarian bakat atlet telah dilaksanakan sepanjang tahun ini.
“Antara program tersebut ialah Program Talent Identification (TID). Program ini melibatkan sukan menembak, judo, karate-do, boling padang, angkat berat dan tinju. Sepanjang tahun ini, sebanyak 10 siri program Talent Identification TID telah berjaya dijalankan.
“Daripada 1,727 peserta yang terlibat dalam program ini, seramai 312 atlet berpotensi telah dikenal pasti dan dibawa ke pusat latihan sukan untuk menerima bimbingan daripada jurulatih yang berkelayakan. Melalui bimbingan ini, kita berharap potensi dan bakat atlet akar umbi ini mampu digilap untuk diketengahkan ke kejohanan sukan bertaraf tinggi,” katanya.
Selain itu katanya, sepanjang tahun ini, sebanyak 13 program Revos and Young Elephant Warrior (YEW) telah dilaksanakan merangkumi sukan memanah, renang, ping pong, sepak takraw, silat, hoki, tenpin boling, dan olahraga.
“Melalui program ini, sebanyak 3,059 penyertaan telah direkodkan dan 183 atlet telah dipilih untuk mendapatkan bimbingan selanjutnya di bawah bimbingan jurulatih negeri dan daerah.
“Program tambahan di bawah inisiatif ini dijadualkan sehingga hujung bulan ini, dengan penyertaan lebih 1,300 orang lagi melibatkan sukan bola jaring, memanah, ping pong, dan sepak takraw,” katanya lagi.
Tambahnya, Kem Future Elephant Warrior 2025 diadakan untuk atlet bakat dan pelapis muda di bawah usia 17 tahun melibatkan penyertaan 150 atlet daripada 20 jenis sukan yang menekankan pembangunan disiplin, ketahanan mental, kepimpinan dan semangat berpasukan.
“Melalui kem ini, atlet muda tidak hanya meningkatkan kemahiran teknikal tetapi juga membina karakter dan fokus yang kukuh sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran di kejohanan peringkat tinggi pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Selain itu katanya, Program i-Talent yang dilaksakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang terus memberikan impak positif dalam melahirkan atlet berbakat dan berprestasi tinggi dalam kalangan orang kurang upaya bagi mewakili Pahang di Sukan Para Malaysia (Para SUKMA). -PAHANGMEDIA

