Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Penyiapan baki kerja bagi Stesen Keretapi Padang Tengku dan Depoh Penyelenggaraan Keretapi Padang Tengku, Lipis dijangka akan dimulakan pada suku kedua tahun hadapan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, buat masa kini, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sedang meneliti baki skop kerja yang masih belum disempurnakan di lokasi berkenaan.
“Pada masa kini, pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui agensi pelaksana iaitu Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sedang melaksanakan beberapa projek membina baharu dan menaik taraf kemudahan stesen dan hentian kereta api di Negeri Pahang.
“Bagi penyiapan baki kerja untuk Stesen Keretapi Padang Tengku dan Depoh Penyelenggaraan Keretapi Padang Tengku, pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sedang meneliti baki skop kerja yang masih belum disempurnakan dan akan melaksanakan proses tatacara perolehan selanjutnya setelah rekabentuk selesai dimuktamadkan.
“Dijangkakan kedua-dua projek ini akan dimulakan pada suku kedua 2026. Sebagai pemilik dan pengurus aset kereta api, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) telah merancang pelaksanaan menaik taraf stesen dan depoh kereta api secara berperingkat di semua stesen yang masih belum dilengkapi kemudahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata terdapat dua stesen kereta api kini dalam proses pembinaan yang dijangka selesai pada April tahun hadapan manakala terdapat sebuah stesen kereta api telah pun selesai dan menunggu proses pengalihan sistem persemboyanan.
“Terdapat dua buah stesen kereta api sedang dalam proses naik taraf dengan tempoh pelaksanaan projek adalah di Stesen Keretapi Kemayan berada pada status pembinaan bermula dari Mac 2025 hingga April 2026.
“Satu lagi, adalah di Stesen Keretapi Lipis yang berada pada status pembinaan bermula dari Julai 2025 hingga April 2026.
“Bagi Stesen Chegar Perah, projek telah selesai dilaksanakan. Namun begitu, proses pengalihan sistem persemboyanan dari stesen lama ke stesen baharu masih belum dilaksanakan dan berada dalam peringkat akhir,” katanya.
Tambah beliau, stesen kereta api baharu sentiasa dipantau oleh kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi mengelakkan daripada berlakunya kes kecurian dan vandalisme di lokasi berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapha Haji Long pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

