Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri menerusi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan melaksanakan penukaran paip usang secara berperingkat bagi mengurangkan kadar Non Revenue Water (NRW) daripada 47.5 peratus kepada 39.5 peratus menjelang 2028.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia akan membabitkan penukaran paip usang sepanjang 573.1 kilometer (KM) di seluruh negeri.
Katanya, usaha berterusan PAIP sejak beberapa tahun lalu menunjukkan perkembangan amat memberangsangkan sekali gus meningkatkan tahap bekalan air di seluruh negeri ini.
“Fokus semasa PAIP adalah menambah baik kualiti perkhidmatan di kawasan-kawasan kritikal blackspot dan kini usaha telah membuahkan hasil dan rata-rata rakyat mula menerima bekalan air yang lebih stabil dan bertekanan tinggi.
“Berkenaan dengan kadar NRW di Negeri Pahang, usaha bagi menurunkan kadar NRW ini bukan mudah dan amat memerlukan peruntukan yang sangat besar. PAIP sedang merancang dan melaksanakannya secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB Tuan Su Keong Siong, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambahnya, antara langkah signifikan termasuklah program penggantian paip usang serta pembinaan District Metering Area (DMA) dan Pressure Management Area (PMA) di seluruh negeri, yang berfungsi mengurangkan kebocoran dan meningkatkan kecekapan pemantauan rangkaian paip.
Katanya lagi, sebanyak 526 DMA baharu dirancang di seluruh daerah dengan anggaran kos RM105.2 juta, melibatkan penjimatan air sehingga 45.4 juta liter sehari (MLD) serta potensi penurunan NRW sebanyak 3.5 peratus.
“Kerajaan Negeri percaya, sebagaimana masalah blackspot yang kini semakin baik dan dapat diatasi oleh PAIP, dengan perancangan yang berfokus seperti di atas, PAIP akan berjaya menurunkan kadar NRW Negeri Pahang secara berperingkat dan mencapai sasaran ditetapkan,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

