Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Kesemua lapan buah Kolej Vokasional dan 19 Pusat Bertauliah Cawangan (PBC) Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) di negeri ini diwajibkan menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Teknikal (TAC) yang dianggotai oleh pihak industri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, langkah ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan Pahang menjadi antara negeri peneraju pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) di Malaysia.
“Unit TVET aktif menjalin hubungan dengan sektor perindustrian negeri iaitu termasuk katering dan penyajian, automotif dan pertanian moden. Ini bagi membolehkan pelajar menjalani latihan industri dan seterusnya diserap ke dalam pasaran kerja.
“Oleh yang sedemikian, di atas kesedaran ini maka Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dengan kerjasama Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah mewajibkan kepada kesemua lapan buah Kolej Vokasional serta 19 buah Pusat Bertauliah Cawangan (PBC) PVMA di negeri Pahang untuk menubuhkan Technical Advisory Committe (TAC) yang dianggotai oleh pihak industri yang berkaitan dengan kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan di institusi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata jalinan kerjasama strategik ini amat penting dalam memastikan program latihan yang ditawarkan selari dengan kehendak industri dan mengikuti perkembangan semasa.
“Selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang TVET, termasuk memperluas akses, memperkukuh kerjasama strategik dengan industri, serta mempertingkat kualiti penyampaian program latihan yang relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.
“Usaha ini bukan sekadar selaras dengan dasar nasional, tetapi digerakkan secara lebih agresif di peringkat negeri melalui pendekatan whole-of-government yang melibatkan JPN Pahang, institusi TVET, industri dan komuniti setempat.
“Melalui khidmat nasihat dan perkongsian kepakaran yang ditawarkan serta peluang latihan industri di premis rakan-rakan strategik ini boleh melahirkan pelatih yang berkemahiran, berdaya saing dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB. Tuan Ho Chi Yang pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

