Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Seramai 303 pemimpin dari 115 rancangan FELDA di negeri ini menerima manfaat daripada Inisiatif Makmur Pahang sebagai tanda peringatan Kerajaan Negeri kepada peneroka dan generasinya.
Menurut YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ia juga merupakan penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pahang kepada pemimpin akar umbi yang menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Insentif ini adalah tanda kita menghargai pemimpin akar umbi yang menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat. Majlis ini bukan sekadar penyerahan insentif tetapi tanda kasih, penghargaan dan pengiktirafan kepada pemimpin akar umbi yang bersama-sama dengan aspirasi dan kepimpinan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Inisiatif Makmur Pahang kepada Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Jawtankuasa Kemajuan dan Keselamatan Perancangan (JKKR) serta pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GWP) FELDA Pahang 2025 di Kompleks Yayasan Pahang, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.

Menurut YB. Dato’ Amizar, insentif ini merupakan tanda ingatan Kerajaan Negeri Pahang kepada para peneroka dan generasinya di negeri ini.
“Sebelum ini Pengerusi menerima RM500 seorang. Jadi Timbalan Pengerusi JKKR pada hari ini juga RM500 seorang, dan GWP juga RM500 seorang. Manakala Setiausaha JKKR menerima RM200 seorang.
“Ini adalah tanda syukur ataupun tanda peringatan Kerajaan Negeri kepada peneroka dan generasinya,” katanya. -PAHANGMEDIA

