Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM9.89 juta bagi melaksanakan pelbagai kajian oleh jabatan dan agensi.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, peruntukan ini disalurkan setelah meneliti keperluan perancangan yang tepat dan berasaskan data.
“Antara kajian adalah Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040, Kajian dan Pembangunan Artifak, Kajian Biodiversiti dan Alam Sekitar.
“Dalam usaha memperluas transformasi digital kerajaan, sebanyak RM6.12 juta diperuntukkan bagi program transformasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) penjawat awam serta penyediaan komputer riba kepada para pelajar termasuk pelajar Orang Asli.
“Bagi menjamin keterhubungan digital seluruh negeri, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta kepada Pahang Go bagi melaksanakan PRISMA 5.0 untuk menyediakan capaian internet yang lebih meluas khususnya kepada komuniti luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Menurut beliau, peruntukan ini selari dengan teras kelima Belanjawan Negeri Pahang 2026 iaitu Memastikan Tadbir Urus Dinamik, Berprestasi Tinggi dan Berintegriti.
“…ia dirangka untuk memastikan jentera pentadbiran negeri kekal tangkas dan responsif bagi memastikan segala dasar dan inisiatif pembangunan memberi impak maksimum kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

