Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mengurangkan yuran persekolahan agama kepada RM370 berbanding RM490 dan pengurangan yuran asrama bagi Sekolah Menengah Agama (SMA) kepada RM560.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pengurangan ini merupakan peruntukan bagi memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai paksi kehidupan dan pentadbiran negeri dengan peruntukan berjumlah RM235.95 juta iaitu peningkatan sebanyak RM39.89 juta atau 20.35 peratus berbanding tahun 2025.
“Peningkatan ini adalah bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri bukan sahaja mengekalkan komitmen memperteguh syiar Islam tetapi meningkatkannya dengan lebih agresif dan berstrategi, sekaligus menepis dakwaan yang menuduh Kerajaan Negeri tidak islamik dan sekular.
“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri bersetuju mengurangkan yuran persekolahan agama daripada RM 490 kepada RM 370 iaitu penurunan sebanyak RM 120 atau 24.5 peratus, serta pengurangan yuran asrama bagi sekolah menengah agama daripada RM 670 kepada RM 560 iaitu pengurangan sebanyak RM 110 atau 16.4 peratus,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga memperuntukkan RM116.58 juta bagi pengoperasian semua sekolah agama di seluruh negeri ini pada tahun hadapan serta penambahan bayaran elaun RM100 kepada guru KAFA melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM3.66 juta.
“Sebanyak RM17.4 juta lagi disediakan bagi pembinaan baharu dan penyelenggaraan sekolah-sekolah agama demi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti tinggi.
“Sebagai tanda keprihatinan terhadap perkembangan pendidikan Islam, bayaran elaun tambahan dinaikkan sebanyak RM100 kepada setiap Guru Al-Quran dan Fardhu Ain asrama menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM1,000 setiap seorang untuk 350 orang guru.
“Kerajaan Negeri juga telah meluluskan penubuhan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang di Cameron Highlands melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM3.23 juta bagi pembayaran emolumen pegawai dan kakitangan serta pengubahsuaian bangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM12.93 juta bagi pembinaan dan penyelenggaraan dua buah masjid di Kuantan dan pembinaan Kompleks Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan.
“Kerajaan Negeri tetap memilih jalan istiqamah dengan melangkah tenang dan tertib dalam memastikan syiar Islam terus ditegakkan di bumi bertuah ini tanpa goyah oleh celaan yang tidak membawa apa-apa makna.
“Dalam memastikan keselesaan ibadah umat Islam, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7.28 juta untuk projek sambungan pembinaan Masjid Al-Fatah Batu 3 dan Masjid Indera Sempurna, Kuantan termasuk kerja-kerja penyelenggaraan yang lain.
“Dalam pada itu, sebanyak RM5.65 juta disediakan bagi pembinaan baharu Kompleks Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan di Indera Mahkota serta penyelenggaraan bangunan Jabatan Agama Islam Pahang bagi mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan agama di Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

